Dr M puji sumbangan Cina kepada Malaysia

BANGI: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberikan pujian kepada masyarakat Cina kerana banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana menteri percaya Malaysia akan ketinggalan dari segi pembangunan tanpa bantuan masyarakat itu.

“Tidak syak yang kebanyakan daripada kemajuan Malaysia disebabkan warganegara Cina di Malaysia. Mereka datang tinggal di sini, menjadi rakyat Malaysia, dan membantu pembangunan negara.

“Saya pasti di mana mereka pergi, mereka akan lakukan yang sama. Malaysia sepenuhnya menghargai sumbangan Cina kepada kemajuan Malaysia,” katanya di satu forum ekonomi hari ini.

Perdana menteri turut mengakui keupayaan orang Cina membina kekayaan di mana mereka berada. Beliau berkata orang Cina lebih banyak menceburi bidang perniagaan dan pandai berurusan dengan wang.

“Kami semua tahu mereka ahli perniagaan yang membina kekayaan negara.

“Tanpa ahli perniagaan membina kekayaan, kerajaan tidak boleh ambil sebab tiada kekayaan,” katanya berseloroh disambut ketawa para hadirin.

Beliau berkata sumbangan masyarakat Cina tidak terhad kepada bidang perniagaan dan beliau memberi penghormatan kepada keupayaan masyarakat itu menyesuaikan diri mereka dengan perubahan pasaran.

Dr Mahathir percaya mereka akan mampu menyesuaikan diri mereka dengan pembangunan dunia yang kini tertumpu kepada Revolusi Industri 4.0.