Umno ketuai kempen bantah ICERD

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan Umno akan mengetuai kempen membantah pengesahan Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (ICERD) yang digerakkan bersama parti Islam, PAS dan badan-badan bukan kerajaan.

Presiden parti Melayu itu berkata beliau dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berkongsi pentas di satu himpunan di Pasir Salak, Perak pada 17 November ini.

“Umno di peringkat pusat mengambil alih semua program utama menentang ratifikasi ICERD dan akan memulakan program dengan Umno Perak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi di ibu pejabat Umno hari ini.

Zahid berkata Umno dan PAS sudah meminta sayap Pemuda masing-masing bergerak ke setiap negeri dan mengerakkan program menterjemahkan penolakan terhadap perjanjian “yang akan menjejaskan pembinaan masyarakat”.

Semalam, delegasi Malaysia ke persidangan penilaian berkala sejagat (UPR) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneza, Switzerland mengumumumkan pengesahan ICERD akan ditentukan selepas rundingan dengan pihak berkepentingan.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Ramlan Ibrahim mengesahkan Putrajaya sedang menimbangkan pengesahan ICERD dan 5 perjanjian hak asasi antarabangsa lain.

Selain Umno dan PAS, PPBM dalam Pakatan Harapan turut menyatakan penolakan terhadap ratifikasi ICERD sekiranya ia “melemahkan atau menghakus” Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan keistimewaan kepada Bumiputera.