Zaid perjelas kenyataan jutawan buat keputusan kerajaan

Zaid Ibrahim berkata kenyataan jutawan itu tidak merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim berkata kenyataan keputusan kerajaan dibuat oleh jutawan dan ahli perniagaan sebelum ini berdasarkan apa yang didengar daripada orang lain.

Beliau menjelaskan kenyataan jutawan itu tidak merujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Daripada kenyataan saya sebelum ini, Dr Mahathir seolah-olah ingat saya tuduh dia dan dia salah anggap saya kata dia jutawan.

“Saya tidak kata dia jutawan. Saya kata keputusan-keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini dibuat oleh orang-orang yang jutawan. Itu maksud saya. Mengenai Tun Daim Zainuddin dan rakan-rakan jutawan buat keputusan kerajaan itu, orang lain cakap bukan saya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas tweetnya berhubung Dr Mahathir kecewa dengan kenyataan jutawannya.

Semalam, Dr Mahathir meminta ahli DAP itu mengemukakan bukti kononnya beliau memiliki wang berbilion ringgit.

“Itu adalah pandangannya. Saya tidak setuju dengan sesiapa. Orang ramai bebas untuk menyatakan pendirian. Saya sendiri tidak tahu. Mungkin dia ada bukti dan dia boleh tunjukkan bukti berapa bilion ringgit yang saya miliki,” katanya.

Sebelum ini Zaid dalam blognya berkata salah satu kelemahan PH ialah kegagalan memenuhi janji.

Beliau berkata masalah kerajaan PH ialah pembuat keputusan sebenar bukan sosialis atau penyokong sistem kebajikan.