Pemilihan semula 3 bahagian PKR Sabah mulai hari ini, esok

Seramai 6,000 ahli bagi bahagian Keningau layak mengundi hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pemilihan PKR bagi 3 bahagian di Sabah diadakan semula berikutan keputusan pemilihan pada 3 dan 4 Nov lepas yang ditangguhkan, berlangsung mulai hari ini dan esok.

Tiga bahagian berkenaan ialah Keningau yang akan menjalankan proses pemilihan pada hari ini manakala 2 bahagian lagi iaitu Tawau dan Pensiangan akan mengadakan pengundian semula, esok.

Di KENINGAU, tinjauan mendapati suasana sekitar pusat pemilihan bagi bahagian itu setakat pagi ini berjalan lancar dengan ahli parti sudah mulai memenuhi pekarangan pusat pengundian di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Keningau, seawal jam 7 pagi.

Proses pengundian semula itu bermula jam 9 pagi tadi dan dijangka berakhir 4 petang ini.

Anggota keselamatan turut ditempatkan di sekitar pusat pemilihan berkenaan dibantu oleh anggota RELA bagi memantau kelancaran dan keselamatan, sekali gus memastikan proses pengundian berlangsung dalam keadaan aman tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Seramai 6,000 ahli bagi bahagian itu layak mengundi pada pemilihan kali ini.