Saya tidak akan menulis lagi, kata Zaid

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengeluarkan tulisan yang disifatkannya sebagai pesanan selamat tinggal “terakhir” kepada rakyat Malaysia dengan merakamkan kekesalan beliau kerana tidak difahami dan dikutuk berikutan pandangan tulusnya berkaitan hal ewal negara selama ini.

“Saya memutuskan untuk berhenti menulis sama sekali demi kebaikan harga diri dan kebajikan keluarga saya,” kata Zaid, yang kerap mengkritik ahli politik kerajaan dan pembangkang, dalam artikel yang diterbitkan FMT hari ini.

Ini berikutan catatan blog beliau yang dilihat kritikal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila beliau berkata, perdana menteri dikelilingi oleh taikun jutawan yang tidak mempunyai penyelesaian bagi mengatasi masalah ekonomi, termasuk masalah dihadapi orang Melayu.

Beliau berkata, tulisan itu menimbulkan kemarahan pemimpin kerajaan, termasuk Lim Guan Eng yang mendesak beliau supaya menariknya balik.

“Dunia tiba-tiba runtuh menghempap saya,” kata Zaid, dalam tulisan beliau bertajuk “Final Testament” (Wasiat Terakhir).

Katanya, rakan-rakan menuduh beliau mencari gaduh dengan “ramai orang”.

“Malah keluarga juga mengingatkan saya bahawa kami tidak akan dapat menyediakan makanan di meja sekiranya saya terus memberi pandangan tentang orang berkuasa di negara ini. Kata muktamad telah diucapkan,” kata Zaid, bekas menteri undang-undang yang meletakkan jawatan daripada Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 kerana membantah langkah kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Zaid berkata, beliau memutuskan untuk menarik balik kenyataannya, termasuk pandangan tentang bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“Saya merakamkan kekesalan atas kenyataan tidak adil dan tidak wajar di blog saya dan memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin kerana menimbulkan rasa tidak senang terhadap mereka berdua,” katanya.

Beliau berkata, menulis “dengan jujur dan sedikit keberanian” ternyata sukar, dan akan melukakan perasaan orang.

Katanya, beliau membayar harga yang mahal kerana meninggalkan jawatan dalam kerajaan yang diterima beliau sebelum ini selepas menarik diri daripada firma guamannya yang berjaya.

Sejak itu katanya, beliau “diburu” oleh kerajaan sebelum ini kerana pandangannya, tetapi pada masa sama berterima kasih kepada peguam Americk Sidhu, M Puravalen dan Datuk Gopal Sri Ram yang menawarkan bantuan perundangan percuma.

Zaid berkata, beliau menyesali kenyataannya yang mengisyaratkan bahawa Daim menguasai perjalanan kerajaan telah mencetuskan kemarahan, dengan menambah bahawa beliau beranggapan dirinya hanya “memainkan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab” di bawah “Malaysia baru”.

Zaid, yang menyertai DAP awal tahun lepas berkata, beliau akan berhenti menulis sepenuhnya dan juga tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

“Saya menghabiskan banyak masa dalam politik kerana beranggapan dapat menyumbang kepada negara, tetapi ia tidak kesampaian. Barangkali politik Malaysia tidak memerlukan orang seperti saya, tetapi semuanya telah terlambat.”

“Saya akan bekerja semula untuk membayar hutang yang terkumpul setelah bertahun-tahun berada dalam kembara itu. Kepada rakan-rakan yang terus setia dan membantu saya mendapatkan kerja semula, saya ucapkan terima kasih.”