Pemilihan PKR: Zuraida mahu JPP dedah ‘log file’ tablet e-undi Julau

Zuraida berkata, tuduhan Rafizi Ramli berkaitan perkara itu adalah palsu.

SIBU: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin mahu supaya pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din mendedahkan “Log File” tablet e-undi yang digunakan semasa proses pemilihan parti bagi bahagian Julau semalam.

Ini katanya, bagi menutup ruang spekulasi dan tuduhan berkaitan kemungkinan berlakunya serangan siber dan sistem pemilihan diceroboh.

“Dedahkan siapa yang memuat turun aplikasi Prey tersebut dan siapakah yang mengakses tablet untuk tujuan itu. Semua ini terdapat dalam Log File tablet tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, untuk memuat turun aplikasi Prey, pentadbir atau “administrator” kepada tablet e-voting itu, harus memasukkan kata laluan dan ini tidak dapat dilakukan oleh semua orang.

“Rashid Din menyatakan sistem tersebut telah digodam dan sekiranya perkara ini berlaku, sudah tentu ia terjadi atas pengetahuan petugas JPP, kerana hanya mereka mempunyai akses kepada sistem tersebut,” katanya.

Zuraida memandang tuduhan yang dibuat oleh calon timbalan presiden Rafizi Ramli berkaitan perkara itu sebagai palsu.

Menurutnya, Prey merupakan satu aplikasi yang popular dalam peranti yang menggunakan sistem Android dan boleh dimuat turun seperti aplikasi lain ke dalam telefon bimbit atau mana-mana peranti pintar mudah alih yang lain.

Aplikasi itu berfungsi melindungi maklumat di dalam peranti mudah alih, untuk memastikan sekiranya peranti tersebut hilang atau dicuri, ia boleh dipantau oleh pemilik sebenar, sejurus selepas peranti tersebut berada dalam talian (online).

“Ia bukanlah “malware” (spyware atau virus) seperti yang dituduh oleh Rafizi Ramli. Ia adalah aplikasi pelindung dan bukannya untuk pengambil data, seperti yang dinyatakan oleh Rashid Din,” kata Zuraida.

JPP telah menggantung keputusan pemilihan PKR bahagian Julau berikutan perkara tersebut semalam.