Saya tak tenang selagi pelaku tak dihukum, kata ibu pada bayi maut dirogol

Noraihan Ab Aziz berharap kejadian yang menimpa anaknya akan menjadi teladan dan pengajaran kepada ibu bapa lain untuk lebih berhati-hati ketika memilih pengasuh.

KUALA LUMPUR: Masyarakat hari ini dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi perempuan akibat didera secara fizikal dan seksual, satu perbuatan sadis yang tidak dapat diterima dek akal manusia waras.

Kejadian sedemikian jelas mengundang rasa marah dan empati masyarakat yang mengutuk perilaku di luar kemanusiaan itu, namun bagi ibu yang mengandung dan melahirkan bayi tidak berdosa ini, kejadian berkenaan menjadi satu igauan ngeri yang menghantui kehidupannya.

“Selagi kes Zara tidak selesai, selagi pelaku tidak dihukum, saya takkan berasa tenang,” kata ibu kepada Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, bayi berusia 11 bulan yang meninggal dunia Jumaat lalu, selepas 2 hari dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang.

Bayi yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

Noraihan Ab Aziz, 22, yang bertugas sebagai operator kilang di Bandar Baru Bangi berkata, beliau tidak pernah menjangka tragedi hitam seumpama itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan amat pedih dalam kehidupan mereka.

“Hati saya sakit sangat, apabila melihat keadaan Zara yang menyayat hati, saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan penyiasatan dan mengenakan hukuman setimpal pada pesalah,” katanya yang kedengaran begitu hiba ketika dihubungi Bernama.

Noraihan dan suaminya, Muhammad Zainal Abduk Rahaman, 27, serta anak sulung mereka, Muhamad Alif Zamani, 4, kini di kampung halaman mereka di Rantau Panjang, Kelantan untuk urusan pengebumian puteri kecil mereka pagi semalam.

Biarpun pasrah dan reda dengan insiden yang menimpa anak keduanya itu, Noraihan berkata, pada awalnya amat sukar beliau menerima kenyataan kematian anak dalam keadaan itu.

Kesedihan Noraihan sukar dibendung dan seakan mahu masyarakat mengambil iktibar kejadian itu dan berkongsi episod duka di Facebooknya.

Noraihan memuat naik status: “Damailah kau di sana sayang…Tunggu ibu di syurga…Ibu halalkan susu yang mengalir di dalam badan anak ibu…anak syurga ibu #nurmuazaraulfa.”

Beliau turut berkongsi gambar bersama arwah ketika menerima rawatan dan jenazah bayi itu diturunkan ke liang lahad.

Ketika bercerita kisah dukanya, Noraihan berkata, anak sulungnya seakan memahami kejadian menimpa adiknya dengan berkata: “Kalau adik sudah berada dalam kubur, adik dah tak sakit, adik dah tak payah duduk di hospital, kan ibu?”

Mengimbas kejadian itu, Noraihan berkata, beliau dihubungi Hospital Serdang pada petang Rabu memaklumkan anaknya dalam keadaan kritikal, selepas dibawa pengasuh dan suami pengasuh.

“Pengasuh bertindak menghubungi saya sebanyak 5 kali, tetapi ketika itu telefon tiada liputan.

“Sejurus sampai di hospital, saya dapati pengasuh dalam keadaan serba salah, tetapi suaminya tenang, seolah-olah tiada apa yang berlaku.”

Noraihan berkata, beliau mengenali pengasuh itu 2 bulan lalu ketika memuat naik status di Facebook mencari pengasuh dan wanita itu bertindak menghubunginya.

“Saya pergi berjumpa dengannya, dan daripada tutur katanya, saya lihat tiada perkara yang meragukan. Namun, ketika berjumpa dengan pengasuh, suami dan anak lelaki mereka berusia 1 tahun 8 bulan tiada di rumah.”

Sedar tiada apa yang dapat mengembalikan anaknya, Noraihan berharap kisah itu menjadi teladan dan pengajaran buat ibu bapa agar lebih berhati-hati memilih tempat asuhan anak.