Dituduh cabul remaja: Shahidan berdepan penjara 10 tahun

PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini kerana mencabul seorang gadis bawah umur.

Ahli Parlimen Arau itu, yang dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000, didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika didapati bersalah, dia akan kehilangan kerusi Parlimennya.

Dakwaan itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Johari Hassan selepas mendengar hujah daripada pendakwa raya Muhamad Nordin Ismail dan peguam bela Dhalia Rohana Abdul Latiff.

Dhalia berkata Shahidan tidak mungkin meninggalkan negara atau sengaja tidak hadir ke mahkamah melainkan ia berkaitan dengan masalah kesihatan.

Nordin bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tinggi memandangkan kes itu profil tinggi dan melibatkan kepentingan awam.

Beliau juga meminta agar Shahidan diarahkan menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 Jan untuk sebutan kes.

Waran tangkap dikeluarkan untuk Shahidan minggu lepas selepas dia gagal hadir di mahkamah untuk berdepan tuduhan. Berdasarkan status yang dimuat naik di facebook, Shahidan kini berada di Mekah menunaikan umrah.

Baru-baru ini, tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan busker ditajanya.

Shahidan bagaimanapun menafikan perbuatan itu yang didakwa berlaku 21 Oktober lalu dan laporan polis remaja itu sudah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut berkata, perkara itu diselesaikan secara baik dan keluarga mereka anggap tiada apa yang perlu dihebohkan.