Keputusan salah laku seksual ketua Jabatan Ortopedik Jumaat depan

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kira-kira 30 individu, termasuk mangsa mengemukakan keterangan berhubung kes berkenaan.

IPOH: Keputusan berhubung dakwaan salah laku seksual seorang ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang dijangka diketahui pada 16 Nov ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kementeriannya akan memecat ketua jabatan berkenaan dari jawatannya sekiranya beliau didapati bersalah.

“Jika dia didapati bersalah, kami akan pecatnya daripada jawatannya, tetapi kami mesti mengikut proses yang wajar dan kami akan merujuknya kepada Majlis Perubatan Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain,” katanya.

Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program menderma darah di Gunung Rapat di sini, semalam.

Menurut laporan akhbar pada 29 Julai lalu, kes berkenaan melibatkan gangguan seksual dan buli beberapa kali oleh seorang ketua jabatan ortopedik di hospital berkenaan terhadap pegawai di bawah seliaannya.

Lee berkata, kira-kira 30 individu termasuk mangsa telah mengemukakan aduan berhubung kes berkenaan.

Pada 15 Okt lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya telah membentuk sebuah jawatankuasa siasatan khas bagi melengkapkan maklumat siasatan awal oleh badan siasatan bebas berhubung dakwaan salah laku seksual berkenaan.

Menurut Dzulkefly, jawatankuasa itu ditubuhkan pada 24 Sept lepas susulan laporan yang dikeluarkan oleh badan siasatan bebas itu pada 18 Sept.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan pertimbangan dibuat berhubung tindakan tatatertib yang wajar diambil ke atas ketua jabatan berkenaan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.