Lagi bayi maut didera: Apakah hukuman mati tidak relevan?

Belum reda kes kematian Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif kira-kira 3 bulan lepas, semalam negara kembali berduka dengan kes yang menimpa keluarga Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal.

Lebih tragis, Muazara menjadi mangsa jenayah seksual suami pengasuh dan meninggal dunia pada Jumaat selepas bertarung nyawa selama 2 hari di hospital dalam keadaan kritikal.

Sudah tentu, sebagai masyarakat yang prihatin dan punya sifat berperikemanusiaan, kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah kejam ini.

Menurut Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, semasa menjawab soalan di Dewan Negara pada Ogos lepas, sebanyak 199 kes penderaan, pengabaian dan kecuaian melibatkan kanak-kanak dalam jagaan pengasuh dilaporkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Itu yang dilaporkan. Bagaimana pula kes terpencil, tidak dilaporkan dan tidak juga mendapat liputan media?

Rentetan daripada kes Muazara yang dilaporkan semalam, terdapat sebahagian daripada kita yang menggesa agar kerajaan tidak meneruskan rancangan untuk memansuhkan hukuman mati. Selain daripada alasan ianya demi menegakkan keadilan, ada juga yang berpendapat jenayah kejam sebegini akan terus meningkat jika hukuman mati dimansuhkan.

Secara peribadi, saya sedar, saya tidak pernah menjadi mangsa jenayah dan keluarga saya juga tidak pernah terlibat dalam sebarang kes sehingga meragut nyawa insan yang saya sayangi.

Namun, jika kita teliti semula, kes kematian kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh ini terus berlaku meskipun undang-undang sedia ada memperuntukkan hukuman berat ke atas pesalah termasuk penggubalan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bahkan, kes kematian Muazara berlaku tidak lama selepas kes kematian Adam yang juga berlaku di bawah jagaan pengasuh.

Ini memberi isyarat kepada kita bahawa langkah pencegahan harus dititik beratkan dalam isu kematian kanak-kanak di bawah seliaan pengasuh, memandangkan hukuman mati tidak memberi kesan akan berkurangnya kes sebegini. Kita harus melihat lebih daripada itu. Kita tidak boleh hanya merawat simptom tetapi akar dan punca penyakit itu masih wujud dan tidak dihapuskan.

Kewujudan media sosial membolehkan ibu bapa mencari pengasuh dengan begitu mudah dan cepat. Tetapi apa yang membimbangkan adalah kewujudan pengasuh ini semakin bertambah tanpa sebarang kawalan dan seliaan.

Latar belakang mereka tidak disaring terlebih dahulu. Kemampuan mereka sebagai pengasuh dari sudut fizikal dan mental tidak diketahui. Akibatnya, ibu bapa terdedah dengan risiko keselamatan apabila anak mereka dijaga oleh pengasuh ini.

Sebagai contoh di Facebook, terdapat banyak “group” di mana ibu bapa mahu mencari pengasuh, mereka hanya perlu memberitahu niat tersebut di dalam “group” itu dan dapat dilihat begitu ramai pengasuh yang menawarkan diri untuk menjaga anak mereka.

Keadaan ini haruslah dipantau dan diatasi oleh pihak berkuasa agar pengasuh di Malaysia dapat dikawal dan dipantau agar kes kematian kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh dapat diatasi.

Senarai nama pengasuh berdaftar dan latar belakang mereka perlu diterbitkan di laman web dan media sosial kementerian agar ia diketahui umum dan mudah diakses oleh ibu bapa dalam membuat penilaian dan pilihan sebelum menghantar anak-anak mereka kepada pengasuh.

Kes kematian Adam dan Muazara perlu dijadikan pengajaran buat kita, khususnya ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam memilih pengasuh dan sudah tiba masanya kerajaan untuk memainkan peranan penting dalam isu ini agar ianya tidak berulang lagi.

Z Zainuddin ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.