Setuju tak lagi salahkan BN, tapi tak boleh halang pimpinan beri pandangan, kata Anwar

Anwar berkata, beliau menyokong saranan Daim kerana percaya rakyat ingin tahu apakah perancangan PH untuk masa akan datang.

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan Tun Daim Zainuddin yang meminta pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhenti menyalahkan kerajaan lalu, tetapi berkata, mereka juga tidak boleh dihalang daripada mengeluarkan pandangan.

Beliau berkata, terdapat pandangan yang mempunyai asas dan bukti kukuh berhubung kesalahan kerajaan terdahulu sehingga menyebabkan hutang negara meningkat.

“Saya berpandangan berdasarkan keputusan dasar kenyataan (Daim) itu betul, tetapi terdapat kes yang kuat yang membuktikan kesalahan kerajaan (Barisan Nasional) yang lalu.

“Saya memahami ada pemimpin dan menteri yang memikirkan masalah dan perkara yang ditimbulkan masa lalu,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Minggu lalu, Daim berkata, kerajaan perlu menumpukan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa pilihan raya umum ke-14 dan melupakan perkara yang berlaku pada masa lalu.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) itu berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah, dan kerajaan baru perlu berhenti menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara ini selama 61 tahun.

Anwar berkata, beliau menyokong saranan Daim kerana percaya rakyat ingin tahu apakah perancangan PH untuk masa akan datang.

“Apakah rancangan untuk masa sekarang dan masa depan. Tetapi itu sepatutnya tidak menghalang kita daripada menyatakan pandangan kita atau keluar dengan bukti baru mengenai pemerintah sebelum ini,” katanya.

Berkait isu yang sama, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan PH tidak akan maju ke hadapan sekiranya terus menyalahkan kerajaan BN, sekali gus mengalu-alukan kenyataan Daim berhubung perkara itu.

“Ini menunjukkan Tun Daim prihatin mengenai prestasi semasa kerajaan PH,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Menyifatkan kenyataan Daim sebagai adil, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, walau apapun yang berlaku, akhirnya kerajaan mesti menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, berhubung pemilihan kepimpinan PKR baru tamat semalam, Anwar menyarankan semua pihak supaya menunggu Jawatankuasa Pusat Pemilihan (JPP) PKR 2018 mengumumkan keputusan rasminya.

“Dia ada hak kerana dia tahu bahawa yang akan umum adalah JPP dan kita patut hormat proses itu,” katanya, mengulas pengumuman Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa menang jawatan timbalan presiden PKR mengalahkan pencabar tunggal beliau, Rafizi Ramli.

Anwar juga menyarankan masalah pemilihan PKR di bahagian Julau Sarawak diputuskan oleh JPP.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau tiada hak untuk membuat keputusan tentang perkara tersebut.

“Serahkan kepada JPP. Masalahnya media nak minta saya putus, tak boleh.

“Ada yang minta saya beri pendirian. Tak boleh. Itu penting. Saya hanya menuntut pemilihan yang bersih, jangan ada pertelagahan. Apa-apa pun keputusan, kita terima dengan baik dan kita bersatu semula,” katanya.

Azmin menerusi hantaran di Twitternya semalam, mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PKR.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua ahli PKR yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya.

Mengikut keputusan tidak rasmi, Azmin menewaskan Rafizi dengan majoriti 3,956 undi. Beliau secara keseluruhan mendapat 70,550 undi, sementara Rafizi memperoleh 66,594 undi.