Sumber: Rosmah dijangka hadapi pertuduhan baru Khamis

PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berdepan pertuduhan baharu pada Khamis ini, kata sumber.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pertuduhan membabitkan siasatan terhadap projek hibrid bagi sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Menurut sumber, seorang lagi individu juga dijangka akan didakwa iaitu bekas pembantu Rosmah kerana cuba mendapatkan wang daripada sebuah syarikat yang terbabit dalam projek pemasangan sistem solar hibrid itu.

Projek hibrid solar itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila laman Sarawak Report pada Jun mendakwa kontrak diberikan kepada syarikat perkhidmatan pengangkutan yang dikatakan menerima arahan terus daripada Datuk Seri Najib Razak.

SPRM sebelum ini menahan beberapa individu termasuk seorang pengarah, pengarah urusan dan peguam yang mempunyai kaitan dengan projek itu.

Rosmah sekarang ini berdepan 12 pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarkan kemasukan RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya, dan 5 lagi pertuduhan gagal membat penyata bagi tahun taksiran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua kesalahan itu.