Tidak rasmi: Azmin menang timbalan presiden PKR dengan majoriti lebih 3,000 undi

Azmin dalam pesanan Twitternya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PKR.

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR selepas menewaskan pencabarnya Rafizi Ramli setelah berakhir proses pemilihan parti itu semalam.

Mengikut keputusan tidak rasmi, Azmin menewaskan Rafizi dengan majoriti 3,956 undi.

Jumlah tersebut adalah berdasarkan keputusan akhir tidak rasmi selepas proses pengundian di bahagian seperti Pensiangan, Tawau, Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Jelebu tamat, selain keputusan fasa kedua di Sarawak melibatkan bahagian Mambong, Sri Aman,Stampin, Sarikei, Petra Jaya, Santubong dan Sibu berakhir semalam.

Azmin secara keseluruhan mendapat 70,550 undi, sementara Rafizi memperoleh 66,594 undi.

Jawatan ketua Wanita PKR pula dimenangi oleh Haniza Mohamed Talha dengan majoriti 3,607 undi menewaskan Fuziah Salleh.

Haniza memperoleh 29,111 undi, sementara Fuziah mendapat 25,504 undi.

Bagi jawatan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin menang dengan majoriti tipis sebanyak 314 undi menewaskan 2 pencabarnya.

Afifi mendapat 16,672 undi, sementara Akmal Nasir dan Najwan Hilmi masing mendapat 16,358 dan 3,309 undi.

Ketika dihubungi FMT, Haniza turut memaklumkan tentang keputusan tidak rasmi itu.

Mengulas kemenangannya sebagai ketua Wanita PKR, Haniza berkata, ia merupakan kejayaan pasukan, bukan individu.

“Terima kasih kepada semua ahli PKR seluruh negara,

“Tumpuan saya sekarang ialah kepada peranan wanita dalam agenda bangsa dan negara,” katanya.

Sebelum itu, Azmin menerusi hantaran di Twitternya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PKR.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua ahli PKR yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya,

Walaupun keputusan tidak rasmi telah diketahui, namun terdapat beribu-ribu “undi ragu” yang masih belum ditambah kepada jumlah pengiraan akhir.

Berdasarkan pemerhatian FMT, hanya 2 kawasan tidak mencatatkan jumlah undi dalam pengiraan semalam, iaitu Bukit Katil di Melaka dan Julau, Sarawak, yang digantung berikutan “serangan siber” menyebabkan 4 tablet sistem e-undi digodam oleh satu perisian intip ketika pengundian Sabtu lepas.