5 pose ini elak tekanan peperiksaan, minda lebih fokus

Menjelang peperiksaan, pelajar akan rasa tertekan akibat beberapa faktor. Sama ada mereka terlebih sedia, kurang bersedia, pengaruh rakan, tekanan daripada ibu bapa dan guru, persekitaran dan banyak lagi.

Bagaimana kita meleraikan semua tekanan itu dan kembali tenang dengan lebih yakin untuk menyempurnakan peperiksaan secara baik?

Di bawah ada beberapa senaman dan amalan yoga yang boleh dipraktis untuk tujuan tersebut. Ia bukan sahaja berguna kepada pelajar malah sesiapa sahaja yang mahukan ketenangan sebelum membuat sesuatu keputusan.

Senaman penenang minda

Sesetengah pose dalam senaman yoga ternyata memberi ketenangan kepada minda dan menjadikan seseorang lebih aman. Sesuai kepada mereka yang tertekan atau dihimpit dengan isu yang membimbangkan, wajarlah mereka membuat senaman dengan posisi yang menenangkan.

Gambar 1: Viparita Karani
Antara pose yang terlibat adalah seperti Viparita Karani atau pose menyandarkan kaki pada dinding dan baring.
Seperti yang dinyatakan ia adalah pose yang menenangkan minda dan berkonsep terapi.

Gambar 2: Shasaangana
Selain itu, Shasaangana atau pose kanak-kanak juga mendamaikan kerana ia memerlukan pelatih duduk dengan kaki berlapik dan menundukkan kepala pada lantai.
Pose ini memberi keterbukaan pada bahagian bahu yang mana lazimnya menjadi ‘pusat pengumpulan beban’. Pernahkah anda mendengar istilah ‘stiff shoulders’ yang mengindikasi anda meletakkan tekanan pada bahagian bahu? Pose ini akan membantu anda membebaskan bahu yang terbeban itu.

Senaman melapangkan dada

Senaman yang memerlukan anda melapangkan dada bermakna anda perlu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus keluar sempurna. Apabila pernafasan ditarik dan hembus sepenuhnya ia akan memberikan keseimbangan pada minda sekaliggus menajamkan minda.

Gambar 3: Matsyasana
Matsyasana iaitu pose ikan memberikan pembukaan pada dada, dengan puncak kepala disandar lantai dan bahagian belakang melengkung manakala kaki pula bersila.
Posisi ini bukan sahaja meredakan tekanan akibat mental tetapi juga fizikal. Ia akan memberi sedikit tekanan pada puncak kepala yang mana akan mengaktifkan otak.

Senaman membongkokkan badan

Pose yang memerlukan anda membongkok, kepala berada seiring paras dada atau kaki akan membantu darah mengalir ke bahagian otak secara lebih mudah. Ini kerana apabila kepala berada di bawah, tarikan graviti memudahkan pengaliran darah. Bukan itu sahaja, pose ini juga meningkatkan tenaga otak kerana ia turut mengalirkan oksigen ke bahagian kepala.

Gambar 4: Parvatasana
Parvatasana atau pose gunung memerlukan pelatih menundukkan kepala kepada tubuh badan berbantuk ‘V’ terbalik. Dalam pose yang sangat mudah dilakukan, anda hanya perlu memastikan kepala dicelah kedua-dua belah tangan, selari dengan telinga dan kaki dikangkang sedikit, tumit ditekan pada lantai. Tumpu pada permukaan di antara kaki.
Apabila anda terlalu penat mengulangkaji atau bekerja, mahupun mahu mnegecas tenaga otak, ini adalah pose yang anda kena amalkan.

Senaman berehat

Dengan hanya membaringkan badan secara terlentang, kaki sedikit terkangkang dan tangan terbuka dengan tapak tangan menghala ke atas, mata ditutup, ia akan memberi ketenangan.

Gambar 5: Savaasana
Savaasana atau pose mayat ini memerlukan anda merehatkan bukan sahaja minda tetapi seluruh badan dengan menyerahkan berat badan kepada graviti bumi. Anda seolah bermeditasi sambil berbaring dengan memberi perhatian kepada pernafasan.
Katakan anda berasa berat kepala atau sakit otot ataupun letih, lesu, anda hanya perlu bayangkan sakit itu sedang dipulihkan dengan menyelaras pernafasan anda. Lakukan untuk sekurang-kurangnya 10 minit. Ingat, ia harus dilakukan secara sedar.