Kalau nama pun dah artis, buat apapun memang jadi tumpuan dan kecaman netizen.

Baru-baru ini pengacara terkenal, Awal Ashaari memuatnaik status di Instagram dengan rambut gaya baharu, yang berwarna blonde.

Namun, dalam kapsyen gambar, Awal menyatakan proses itu tidak menggunakan walau setitik pewarna pun, maka sah untuk tujuan solat.

“Ia mengambil masa 2 hari dan 7 kali pelunturan untuk mencapai rupa ini. Tiada ada setitik pewarna rambut pun yang digunakan dalam proses ini. Oleh itu, ia bersifat boleh solat,” tulisnya.

Seperti biasa, perkongsian Awal terus dihujani persoalan dan kecaman daripada netizen dan peminatnya yang mempersoal kesan pelunturan dan proses tersebut.

Ada yang berkata ia tetap bertentangan dengan hukum agama kerana mengubah ciptaan Allah.

FMT Ohsem melayari beberapa laman untuk mendapatkan maklumat mengenai proses pelunturan rambut. Menurut philipkingsley.com, proses yang seringkali dikatakan merosakkan rambut sebenarnya boleh dilakukan tanpa kesan negatif.

Tambahnya, meluntur adalah proses menyingkir warna rambut menerusi proses oksidasi di mana ia menyah-warnakan pigmen rambut.

“Berbanding semua kaedah, pelunturan adalah proses yang paling tinggi risiko rambut rosak jadi harus dilakukan oleh professional.

“Pelunturan membuka kutikel luar rambut agar agen pemutihan menembusi rambut secara sepenuhnya.

“Bagaimanapun, pelunturan berulang boleh membuang kutikel rambut secara kekal dan menghilangkan kelembapan secara berterusan,” tulisnya di laman web tersebut.