Guan Eng: Cukai minuman bergula mampu tambah hasil negara

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Tindakan memperkenalkan cukai ke atas minuman bergula mulai 1 April 2019 mampu meningkatkan pendapatan negara, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau bagaimanapun berkata, pendidikan lebih penting berbanding kenaikan harga gula yang bukannya langkah terbaik untuk mengurangkan pengambilan minuman manis.

“Kami faham ini bukan satu-satunya kaedah untuk kurangkan penggunaan gula, paling penting pendidikan. Walaupun harga gula diturunkan, perlu guna secara berhemah.

“Ini juga merupakan usaha kerajaan untuk memperluaskan asas pendapatan atau hasil negara,” kata di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) mengenai cadangan kerajaan mengenakan duti eksais terhadap minuman bergula demi kebaikan rakyat.

“Kerajaan kata hapuskan GST (cukai barang dan perkhidmatan), buat SST (cukai jualan dan perkhidmatan) sebab nak sejahterakan rakyat.

“Adakah langkah ini akan mensejahterakan rakyat? Kenapa tidak mengenakan cukai yang lebih mewah seperti cukai kekayaan?” soal Ronald.

Lim berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Ronald.

“Masa depan, itu untuk masa depan. Beberapa cukai yang dicadangkan YB akan dipertimbangkan seperti yang disebut YB.”

Pada 2 November lalu, Lim menerusi pembentangan Bajet 2019 mengumumkan pelaksanaan duti eksais 40 sen bagi setiap liter minuman bergula atau pemanis berasaskan gula melebihi 5g per 100ml, selain jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12g bagi setiap 100ml, mulai 1 April depan.