Hukuman mati tak kurangkan jenayah dadah, kata Wan Azizah

Wan Azizah Wan Ismail memberi contoh kes kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh yang didapati positif Methaphetamine.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedang meneliti jika proses pemulihan lebih diperlukan berbanding hukuman mati mandatori untuk membantu penagih dadah.

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mendapati hukuman sedia ada tidak mengurangkan kadar jenayah membabitkan dadah.

“Ini memang bukan sesuatu yang mudah dan kita perlu meneliti perkara ini dengan mendalam.

“Hukuman gantung sampai mati untuk (kesalahan) dadah ini tidak menjadi penghalang (kepada jenayah dadah) dan kita lihat dalam penjara banyak sangat dalam masalah dadah.

“Semalam, saya jumpa dengan polis dalam D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak), yang (melakukan) jenayah seksual semua tu, dia kata (membabitkan) kesalahan penggunaan dadah, selain ketagihan dadah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Liew dilaporkan berkata, Kabinet memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu, turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bulan lalu, Liew dilaporkan berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati dan tumpuan diberikan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan melaksanakan hukuman penjara seumur hidup.

Ketika ini, terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Wan Azizah memberi contoh kes kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh yang didapati positif Methaphetamine.

“Sebagai seorang ibu, memang saya rasa kes ini (kematian bayi 9 bulan) adalah kejam, tetapi apakah punca sebenarnya dan ia adalah dadah.

“Jadi, bagaimana kita nak atasi jenayah dadah itu dan untuk itu, kita kena lihat secara menyeluruh berbanding hukuman mati mandatori ini.”

Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal meninggal dunia 9 November lalu, selepas 2 hari dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang akibat “impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala”, di mana tempurung kepalanya pecah.

Polis berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa, dan dubur mangsa juga mengalami koyakan.

Susulan itu, suami pengasuh berusia 36 tahun direman 5 hari sehingga semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.