Kuil bersedia pindah seperti yang dijanjikan, tetapi berdepan tentangan

K Chelappa mahu semua pihak menerima dan menegakkan kedaulatan undang-undang dalam isu pemindahan kuil.

SUBANG JAYA: Seorang pentadbir kuil yang diminta berpindah daripada lokasi sekarang berkata dia komited untuk mematuhi perintah mahkamah, meskipun sekelompok penganut menuntut supaya lokasi kuil tersebut dikekalkan.

K Chellapa berkata adalah sangat penting semua pihak menghormati penghakiman persetujuan oleh Mahkamah Tinggi.

Ianya bagi menyelesaikan kemelut antara Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak di Seafield dan One City iaitu pemaju yang memiliki tanah di mana terletaknya kuil itu selama lebih 40 tahun.

“Isunya di sini terdapat perintah mahkamah yang perlu kita penuhi,” katanya kepada FMT.

M Nagaraju, yang pernah mencabar Chellapa untuk kepimpinan kuil itu, cuba menghentikan pemindahan kuil itu, mengatakan ia mempunyai nilai sejarah ratusan tahun.

Usahanya mendapat sokongan bekas aktivis Hindraf, N Ganesan, yang kini mengetuai badan bukan kerajaan bernama Freedom Malaysia.

Ganesan mahu kerajaan menghentikan pemindahan itu, dan memberi amaran “perkara tidak dapat dielakkan akan berlaku” jika ia diteruskan.

“Sekiranya pemaju mengejar pendekatan yang tidak kompromi dan agresif dengan menimbulkan perintah mahkamah dan meneruskan usaha itu, cuba merobohkan kuil, dan kerajaan tidak campurtangan, kita mungkin melihat situasi mudah meledak seperti apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini bawah kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Ganesan.

Beliau juga membidas Tun Dr Mahathir Mohamad, menuduh beliau mengelirukan orang India dengan memberi lebih banyak jawatan Kabinet kepada mereka.

“Dr Mahathir pandai mencipta khayalan,” katanya.

Chellapa bagaimanapun menepis dakwaan itu, termasuk dakwaan mengatakan kuil itu berusia 147 tahun. Sebaliknya, beliau mendedahkan, kuil itu dibina pada 1974.

“Orang boleh cuba buat cerita, mereka boleh kata apa sahaja yang mereka mahu.”

Ditengah-tengah ini ialah saman sivil yang membawa kepada penghakiman persetujuan pada Mac 2014 untuk memindahkan kuil itu.

Ianya dipersetujui bahawa One City akan menyediakan 2 tanah untuk kuil baru serta sumbangan sebanyak RM1.5 juta.

Sementara itu, kerajaan Selangor akan mewartakan tapak baru itu sebagai tempat ibadat.

Sebagai balasan pula, pengurusan kuil akan menyerahkan semula harta milik kosong kepada One City.

Nagaraju, yang sebelum ini bersetuju dengan penghakiman itu, secara berasingan mencabar Chellappa di mahkamah untuk mengambil alih jawatankuasa pengurusan kuil, tetapi kalah.

Chellappa mempersoalkan penentangan Nagaraju itu, dan menambah ia mungkin disebabkan dia tidak diisytiharkan sebagai pentadbir kuil yang sah.

“Kenapa pada mulanya Nagaraju bersetuju dengan pemindahan kuil itu sedangkan dia begitu yakin kuil itu harus tetap berada di situ? Adakah dia tidak akan bersetuju dengan penempatan semula jika mahkamah memutuskan dia pentadbirnya?” katanya.

Chellappa berkata One City berlaku adil kepada semua orang termasuk kerajaan negeri, mengatakan nasib kuil-kuil Hindu lain lebih buruk apabila dirobohkan secara paksa.

“Terdapat kes di Kuala Lumpur di mana pemaju mengambil alih tanah mereka dan hanya memberikan pampasan sebanyak RM10,000 atau RM15,000.

“Dalam kes ini, pemaju yang memiliki tanah itu memberikan kami 2 buah tanah baharu dan RM1.5 juta. Saya rasa tidak pernah ada orang buat begitu dalam sejarah Malaysia. Anda duduk atas tanah orang lain tetapi orang itu berikan tanah baharu dan sejumlah wang yang banyak,” katanya.

Chellappa berkata lokasi kuil Sri Maha Mariamman sekarang ini juga tidak sesuai kerana terlalu dekat dengan jalan utama dan kekurangan ruang letak kereta.

Beliau berkata tapak baharu itu bukan sahaja lebih besar bahkan akan diwartakan sebagai tempat ibadat.

“Kerajaan juga telah mengkhususkan tanah di sebelah tapak baru sebagai tempat letak kereta.”