Pelajar berarak ke Parlimen bantah jadual bayaran PTPTN

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20 orang pelajar dari pelbagai universiti awam berarak dari Universiti Malaya (UM) ke Parlimen hari ini bagi membantah jadual pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2019.

Kumpulan tersebut, mewakili Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), tiba di pintu gerbang Parlimen pada 12.50pm tetapi dihalang masuk oleh polis.

Presiden Gamis Muhammad Faizzuddin Mohd Zai kecewa tidak dapat bertemu Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

“Kami mahu beritahu Maszlee yang beliau seorang hipokrit,” katanya. “Beliau bercakap mengenai demokrasi tetapi dia minta kami tunggu di tepi jalan,” katanya kepada pemberita.

“Ya, kami bukan seperti syarikat-syarikat besar yang boleh melobi kerajaan. Kami pelajar daripada segmen miskin dalam masyarakat dan akan menjadi miskin kerana gaji kami secara automatik diambil untuk membayar hutang PTPTN secara paksa.”

Kumpulan tersebut antara lain disertai pelajar daripada UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Faizzuddin juga menunjukkan kira-kira kos hidup bagi lepasan universiti yang berpendapatan RM1,000, mengatakan mereka akan berhutang RM400 setiap bulan.

Kira-kira itu, bersama memorandum yang menjelaskan bagaimana keputusan kerajaan itu akan membebankan para lepasan, diserahkan kepada pegawai khas Maszlee, Abdul Hannaan Khairy.

Sebelum ini, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan mengumumkan tabung itu tidak boleh membenarkan peminjam hanya mula membayar pinjaman apabila gaji mencapai RM4,000 sebulan, yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Beliau berkata mereka tiada pilihan kerana tabung itu menanggung kira-kira RM40 bilion hutang peminjam bermasalah. Jika rancangan itu diteruskan, pelajar lain di masa depan tidak boleh mengambil pinjaman, katanya.

Dala m Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan jadual pembayaran balik bagi PTPTN dengan cara potongan gaji antara 2% hingga 15% terpakai kepada peminjam berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Faizzuddin berkata Gamis akan membincangkan rancangan seterusnya dengan pihak berkepentingan jika menteri tidak memberikan respon.

Beliau berkata mereka mungkin berarak dari UKM ke Putrajaya.