Pemuda Umno gesa Cina, India bantah ICERD elak tutup SJKC, SJKT

Asyraf Wajdi Dusuki kesal dengan ahli Parlimen Melayu dan bumiputera yang tidak tampil menolak ICERD yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa orang Cina dan India membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bagi mengelakkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dihapuskan.

Katanya, jika Malaysia mengiktiraf ICERD, kerajaan perlu bersedia menutup SJKC dan SJKT.

“Apakah kita bersedia untuk hapuskan SJKC, SJKT? Saya rasa dalam konteks negara kita boleh menerima hakikat sejarah kita ada pelbagai aliran pendidikan.

“Tetapi, yang paling penting bagaimana kita nak pastikan semua dapat hidup secara aman dan tenteram,” katanya dalam siaran langsung Facebook bertajuk “Sembang Santai ICERD dan Ancaman Kepada Bumiputera” malam tadi.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited meratifikasi 6 triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian dilaporkan berkata, langkah itu tidak mudah kerana Malaysia mempunyai penduduk berbilang bangsa dengan kepentingan tertentu, tetapi rundingan akan diadakan dengan semua kaum terlebih dahulu, sebelum kerajaan meratifikasi ICERD.

Asyraf turut kesal dengan ahli Parlimen Melayu dan bumiputera yang tidak tampil menolak ICERD yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam isu ini, kita harus berbincang di luar kerangka parti. Kita harus meniru atau belajar daripada bangsa lain, apabila menyentuh hak mereka boleh sepakat.

“Kita tengok dulu MCA, Gerakan dalam BN dan DAP di luar, tetapi apabila melibatkan pendidikan sekolah Cina umpamanya, mereka akan sama-sama mempertahankan.”

Katanya, takrifan diskriminasi kaum di bawah ICERD bertentangan Perkara 8(5)(f) Perlembagaan Persekutuan yang mengehadkan pengambilan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu, Perkara 89 mengenai tanah rizab Melayu dan Perkara 153 perizaban kuota khas jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan.

“Konvensyen ini memperuntukkan beberapa perkara, contohnya takrifan diskrimansi kaum itu sendiri yang bermaksud tidak boleh ada sebarang perbezaan pengecualian sekatan ataupun memberikan sebarang bentuk keistimewaan berdasarkan bangsa, warna kulit, agama sekalipun.”