Rosmah akan didakwa di mahkamah esok, kata peguam

K Kumaraendran enggan mengulas pertuduhan yang bakal dihadapi Rosmah Mansor esok.

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, selepas selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kata peguamnya, Datuk K Kumaraendran.

“Beliau selesai beri keterangan di SPRM pada 2.35 petang…beliau sudah pulang.

“Rosmah diminta hadir ke mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 3 petang,” katanya di ibu pejabat SPRM hari ini.

Beliau enggan mengulas siasatan SPRM hari ini dan pertuduhan yang bakal dihadapi Rosmah esok.

“Saya tidak mahu cakap-cakap apa-apa, tunggu esok,” katanya.

Sementara itu, SPRM berkata, pihaknya mendapat izin mendakwa Rosmah dan Datuk Rizal Mansor yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, esok.

“Kedua-duanya akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada 15 November, jam 2.30 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Katanya, Rosmah dipanggil ke ibu pejabat SPRM 12 tengah hari tadi untuk melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan kes itu.

Awal Jun lalu, Sarawak Report melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan tanpa tender terbuka.

Seorang bekas pemimpin tertinggi negara didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu melaksanakan projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak, pada Januari 2017.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.1 juta di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.