Projek solar Sarawak: Rosmah, Rizal didakwa terima rasuah lebih RM200 juta

Rosmah Mansor dan Rizal Mansor (kanan) masing-masing dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin.

KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi sekolah di pedalaman Sarawak, 2 tahun lalu.

Rosmah dikatakan cuba mendapatkan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin antara Mac dan April 2016.

Jumlah itu ialah 15% daripada nilai kontrak, yang dikatakan sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapat projek terbabit melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM1.5 juta daripada Saidi bagi membantunya mendapatkan kontrak itu di kediaman peribadi beliau di Taman Duta, di sini, pada 7 September 2017.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar mengetuai pasukan pendakwaan.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin dan peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent memohon jumlah itu dibayar secara ansuran dalam masa 10 hari.

Hakim bagaimanapun mengarahkan Rosmah membayar RM500,000 hari ini dan bakinya diselesaikan dalam 7 hari.

Awal Jun lalu, projek hibrid solar itu mencetuskan kontroversi apabila Sarawak Report mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengarahkan kontrak itu diberikan kepada Jepak Holdings, sebuah syarikat kereta sewa berpangkalan di Bintulu.

Jepak Holdings dilantik pada akhir 2016 untuk membekalkan diesel dan menyelenggara generator, serta membekalkan sistem hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Bagaimanapun, tiada sekolah yang mempunyai sistem itu sehingga kini.

Di kamar berasingan, Rizal, 44, mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan meminta suapan dan menerima rasuah berjumlah RM218 juta bagi projek hibrid solar di sekolah pedalaman Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama dan ke-2, Rizal didakwa meminta RM212.5 juta daripada Saidi bagi pihak Rosmah untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Bagi pertuduhan ke-3 dan ke-4, beliau didakwa menerima RM5.5 juta bagi dirinya dan Rosmah sebagai upah melakukan kesalahan itu.

Rizal didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, di mana semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Beli-belah Sunway Putra dan Pavilion pada 20 serta 23 Disember 2016.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin, selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Kamal Baharin Omar bersama pihak pembelaan bersetuju dengan jumlah itu.

Peguam, Ridha Abdah Subri bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan Rizal membayar wang jaminan itu secara ansuran.

“Anak guam saya sedang mengalami masalah kewangan dan hanya berjaya mengumpulkan RM500,000 hari ini,” katanya sambil menambah Rizal memberi kerjasama ketika direman SPRM.

Hakim membenarkan Rizal membayar RM500,000 hari ini dan bakinya sebelum 22 November ini.

“Semua pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga pelupusan kes,” kata hakim.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 29 November ini.