Wanita Saudi pakai abaya terbalik bantah peraturan ketat kerajaan

Wanita Arad Saudi memuat naik gambar mereka memakai abaya terbalik di Twitter. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Wanita Arab Saudi melancarkan kempen di media sosial membantah peraturan yang mewajibkan wanita memakai abaya, satu adat dan tradisi yang menghalang kebebasan peribadi mereka, lapor Stepfeed.

Kempen melalui media sosial dengan hashtag dalam bahasa Arab, “Abaya Inside Out” mengajak wanita bersolidariti dengan memuat naik gambar mereka memakai abaya secara terbaik sebagai “bantahan senyap kerana dipaksa memakai abaya”.

Abaya ialah jubah labuh yang berwarna gelap yang menutup keseluruhan tubuh dan adakalanya dipakai dengan niqab yang menutup muka.

Arab Saudi antara negara yang mempunyai undang-undang paling ketat dalam mewajibkan wanita memakai jubah di tempat awam, yang dikenakan terhadap wanita tempatan mahupun warga asing. Sesetengah wanita pula mesti memakai niqab di beberapa bahagian negara itu, termasuk ibu kota Riyadh.

Sejak awal tahun ini, beratus-ratus wanita Saudi menyertai gerakan dalam talian yang menggesa menanggalkan niqab dan tudung mereka.

Gerakan itu bermula apabila seorang wanita dikenali sebagai Taraf Alasiri memuat naik gambarnya di media sosoal tanpa niqab dan tudung.

“Saya memotong rambut dan menanggalkan niqab… dan saya tertanya-tanya mengapa saya menutup muka sepanjang masa. Saya menyedari ia adalah tabiat dan tradisi bodoh yang menghalang kebebasan saya,” tulis Alasiri di Twitter.

Wanita yang menyokong Alasiri turut memuat naik gambar mereka tanpa tudung dan niqab dengan hashtag #SolidarityWithTaraf.