Galeri Total Kitchen dari bengkel kecil ke bangunan 3 tingkat

Althahir Abdul Rashid, 48, menceburi bidang pembuatan kabinet dapur sekitar 20 tahun lalu dengan menyewa sebuah bengkel dan mengambil tempahan secara kecil-kecilan.

Berbekalkan tekad serta keyakinan, kegigihan anak jati Pekan, Pahang ini ternyata membuahkan hasil apabila jenama perabotnya ‘Total Kitchen’ semakin mendapat pasaran.

Bagi mereka yang biasa menyusuri Jalan Teluk Sisek di Kuantan menghala ke pantai Teluk Chempedak, Kuantan, pasti akan terpandang sebuah bangunan 3 tingkat yang menempatkan galeri perabot moden Total Kitchen.

Dibuka dengan rasminya pada 1997, galeri itu yang memberi kemudahan kepada pelanggan yang mahu membuat tempahan sambil mendapat khidmat nasihat daripada segi contoh serta pilihan yang ditawarkan.

“Saya memang bermula tanpa sebarang pengetahun dalam bidang kabinet dapur tetapi saya yakin dengan usaha saya itu kerana dapat banyak sokongan daripada anggota keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga. Maklum balas positif mereka membuatkan saya terus bertekad meneruskan perniagaan ini secara serius.

“Alhamdulillah… usaha berterusan dan keazaman untuk berjaya membolehkan Total Kitchen berkembang sehingga menjadi jenama pilihan khususnya di Pantai Timur, “ kata Althahir dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Keluarga peniaga

Menurut Althahir, minat untuk berniaga ini tercetus sekembalinya dari Amerika Syarikat pada 1995 setelah tamat pengajian dalam bidang pengurusan kewangan.

“Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.” Mungkin peribahasa Melayu ini sesuai benar dengan usahawan ini. Bapa beliau menjalankan perniagaan murtabak di bandar Pekan dan minat untuk berniaga sudah tertanam sejak kecil lagi.

Beliau memilih bisnes membuat kabinet dapur kerana sedar ada bakat mereka bentuk dan ditambah dengan sokongan seorang rakan berbangsa Korea yang membawa masuk idea dekorasi, fesyen serta kabinet moden dari negaranya. Rakan Korea itu, Lee Kang Won adalah ahli perniagaan yang terlibat dalam perniagaan membuat pintu rumah untuk pasaran eksport ke Korea.

Oleh itu, tidak hairan mengapa idea reka bentuk Total Kitchen banyak diinspirasikan dari Korea, selain penggunaan bahan juga kebanyakannya datang dari negara tersebut ekoran kualiti dan reka bentuknya yang moden.

“Saya bermula dengan modal RM100,000 yang dikongsi dengan rakan niaga dari Korea. Semasa saya belajar di University of Massachusetts, Amherst, Amerika Syarikat, saya memang mengumpul wang termasuk gaji ketika bekerja sambilan.

“Pada permulaan perniagaan, kami menyewa bengkel di Semambu, Kuantan sebagai tapak operasi. Jodoh perniagaan kami bagaimanapun hanya setakat 2 tahun kerana rakan Korea saya membuat keputusan untuk pulang terus ke kampung halaman pada tahun 1997.

“Bagaimanapun, itu semua biasa dalam adat berniaga dan tidak membuatkan saya putus semangat. Saya cekal untuk membuka ruang pameran di Jalan Teluk Sisek yang bertahan sehingga kini,” katanya sambil tersenyum bangga.

Beli bangunan sendiri

Althahir menambah, selepas 17 tahun menyewa, beliau akhirnya membeli bangunan tersebut dan langkah pertama sudah pasti melakukan pengubahsuaian sehingga berdiri megah bangunan 3 tingkat yang menjadi kebanggaannya hari ini.

Untuk kemudahan pelanggan, tingkat bawah dijadikan ruang pameran dapur yang dilengkapi ruang solat dan ruangan khas untuk kanak-kanak manakala tingkat dua dan tiga berfungsi sebagai ‘studio dapur’ dan ‘studio reka bentuk’.

Menurut Althahir, pelanggan bebas melihat, memilih dan meluahkan pendapat kerana cita rasa serta kehendak setiap individu adalah berbeza.

“Kami juga mementingkan konsep perbincangan bersama supaya dapat menghasilkan produk terbaik yang menepati semua keperluan pelanggan dengan peruntukan mereka.

“Saya bersama pakar perancang dalaman yang bekerja secara sambilan di Total Kitchen akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikan permintaan pelanggan,” katanya.

Tidak lagi tertumpu kepada pembuatan kabinet dapur, Total Kitchen kini juga memperluaskan perniagaan dalam produk kabinet bilik tidur, ruang tamu dan aksesori berkaitan, meliputi pakej daripada ekonomi hingga mewah.

Terap nilai profesional

Althahir turut melahirkan rasa syukur kerana Total Kitchen yang menggunakan slogan ‘Pelengkap Kediaman Anda’ terus mampu bersaing dalam industri pembuatan kabinet, dan mampu mencatat keuntungan tujuh angka walaupun muncul banyak pesaing baharu.

Total Kitchen juga mempunyai nilai tersendiri kepada Althahir kerana ia membuktikan syarikat Bumiputera juga ‘mampu hidup’ walau berdepan saingan hebat, asalkan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan berdisiplin.

Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk mengekalkan prestasi itu, sebaliknya ia merupakan usaha berpasukan beliau dengan 8 orang pekerja Total Kitchen, termasuk 4 pekerja di bengkel.

“Saya menekankan nilai profesional dalam setiap urusan melibatkan pelanggan. Ini termasuk dalam penetapan tarikh siap dan pengurusan jadual proses pembuatan, persembahan kerja yang konsisten, jaminan komprehensif dan komitmen berterusan terhadap produk kami.

“Saya sendiri mahu melihat Total Kitchen tidak gagal dalam memberi kepuasan kepada pelanggan walaupun masa beredar dan disebabkan itu, kami perlu terus bekerja keras,” katanya.

Tak menyesal ‘lari’ bidang

Melihat kejayaan Total Kitchen, Altahir berkata tidak ada sedikit pun rasa menyesal dalam dirinya bekerja sendiri daripada usia muda walaupun beliau mempunyai kelulusan universiti luar negara.

Katanya, minat untuk berniaga juga menyebabkan beliau nekad menolak tawaran kerja daripada sebuah firma kewangan terkenal dunia, selepas tamat menjalani latihan praktikal di firma berkenaan.

“Saya nekad untuk pulang ke tanah air untuk memulakan perniagaan sendiri… Saya tidak menyesal dengan pilihan itu, malah lebih gembira kerana dapat bekerja mengikut minat sendiri.

“Saya rasa mungkin saya tidak akan berasa gembira seperti ini, jika meneruskan kerjaya sebagai pegawai kewangan sedangkan minat menjadi usahawan membuak-buak di dada,” katanya.