Kulit hitam dan diskriminasi intipati filem ‘The Hate U Give’

Diskriminasi satu perkataan yang semakin berleluasa atas beberapa sebab. Walaupun ia tidak membawa solusi positif namun kewujudannya tetap dipelihara atas pelbagai faktor oleh pelbagai pihak.

Filem “The Hate U Give” membawa elemen diskriminasi dalam kalangan warga kulit hitam di sebuah bandar di Amerika. Stereotaip yang memandang keberadaan warga kulit hitam sebagai satu ugutan sosial sekali gus menjadi amalan dan budaya sehingga wujudnya rasa benci dan takut dalam kalangan masyarakat berbilang ‘warna’.

‘The Hate U Give’ mengisahkan watak seorang remaja perempuan, Starr Carter yang berusaha mencari keseimbangan antara kehidupannya yang dibesarkan di kawasan perumahan didominasi komuniti berkulit hitam dengan latar belakang sejarah keganasan dan pada masa yang sama belajar di sebuah sekolah di mana kebanyakan pelajarnya ialah berkulit putih.

Starr berpegang kukuh kepada pendirian menjadi orang kulit hitam yang tidak mengancam rakan-rakan berkulit putihnya.

Kemuncak filem ini adalah apabila rakan lelaki Starr, Khalil Harris ditembak oleh polis berkulit putih ketika mereka dihentikan di lampu trafik.

Satu insiden yang menghantui Starr sehingga tercetusnya satu pergerakan sosial yang berjuang demi keadilan untuk Khalil dan komuniti kulit hitam secara amnya.

Menariknya, ia menyelitkan pelbagai isu sosial yang dialami masyarakat kulit hitam seperti keganasan geng, keganasan polis dan kedudukan komuniti dan keluarga kulit hitam dalam berdepan dengan diskriminasi sosial yang sangat tebal dan mendalam.

Demi menegakkan keadilan untuk rakanya, di mana polis yang menembak Khalil dibiar bebas oleh institusi yang mengutamakan hak orang kulit putih, Starr akhirnya setuju untuk jadi saksi utama untuk kes tersebut.

Ke mana agaknya hala tuju Starr dalam ‘berjuang’ melawan arus diskriminasi?

Turut ditonjolkan diskriminasi umum apabila si mati yang sering disalahkan atas kematian mereka dan ia sekali lagi hanya terkait dengan dalam putaran hidup golongan orang kulit hitam.

Menariknya, rakan-rakan Starr yang berkulit putih, pada awalnya menyokong Starr serta terlibat sama dalam menuntut keadilan untuk Khalil, akhirnya menampakkan ciri stereotaip mereka apabila membelah bahagikan sokongan kepada polis ‘kulit putih’.

Apatah lagi, apabila Khalil juga dikisahkan mempunyai sisi hidup gelap apabila terlibat dalam dadah dan dibesarkan oleh ibu yang juga bermasalah sosial.

Cerita ini membongkar lebih banyak daripada sekadar ‘kisah luaran’ yang sering didedahkan dalam isu mengaitkan diskriminasi sesuatu bangsa atau komuniti. Ia mengetengah elemen kasih sayang dan kekeluargaan, serta pergelutan yang dialami di antara menegak keadilan dan menyingkir diskriminasi.

Apa yang pasti, filem ini akan ‘menyedarkan’ penonton menangani isu sensitif secara halus dan berjaga-jaga di samping menonjolkan diskriminasi yang boleh berlaku dengan pelbagai cara.

Ia juga membangkitkan realiti kehidupan yang perit tetapi diselit dengan mesej yang positif yang boleh dijadikan inspirasi untuk setiap manusia menangani isu diskriminasi sama ada dalam filem atau realiti.

Prebiu asal filem ini disumbangkan oleh Pusat Komas