Selepas selebriti dan usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman diserang netizen atas tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur menghina dalam rancangan secara langsung, Gegar Vaganza 5 (GV5), kini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula mengeluarkan amaran kepada Astro atas sebab yang sama.

Dalam rancangan realiti yang disiarkan secara langsung itu, Aliff Syukri mempromosi produknya dengan melabel seorang wanita sebagai ‘ugly’ dan berwajah seperti bomoh selain turut memberi pandangan mengenai warna kulit penyanyi lagu ‘Amalina’, Santesh Kumar.

Ekoran itu, SKMM menjalankan siasatan berhubung kandungan promosi produk yang dilakukan oleh Aliff Syukri pada program GV5 yang disiarkan melalui Astro Ria agar insiden seperti itu tidak berulang.

“Pihak Astro telah menghadiri perjumpaan dengan SKMM pada 7 November bagi memberi penjelasan butiran insiden serta tindakan pencegahan dan pembetulan yang diambil.

“Sebagai tindakan pencegahan pengulangan insiden, Astro juga telah merakam terlebih dahulu apa-apa segmen yang melibatkan penaja utama bagi program ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Astro belum mengeluarkan sebarang kenyataan tindak balas terhadap kenyataan SKMM.