Saat wanita sedang hamil, ia adalah menjadi satu kewajipan bagi wanita itu untuk menjaga gaya hidup dan corak pemakanannya. Ia bukan sahaja demi kebaikan dan kesihatan mereka bahkan kandungannya juga perlu dipelihara dan dijaga dengan baik bagi memastikan ia dapat membesar dengan baik, sihat dan selamat.

Butterkicap menyenarai 8 makanan pantang ketika hamil yang perlu dijauhi sepanjang tempoh kehamilan. Ia bertujuan menjaga kesihatan dan mengelakkan mudarat kepada bayi yang dikandung.

Makanan Pantang #1: Buah-buahan dan sayur-sayuran tidak dibasuh

Perkara pertama yang perlu dijaga untuk ibu hamil ialah kebersihan. Dalam menjaga kesihatan dalam pemakanan, anda perlu pastikan sayur-sayuran dan buah-buahan yang diambil sentiasa bersih dan dibasuh dengan baik. Jika ia tidak dibersihkan dengan sempurna, ia akan menghasilkan bakteria yang dikenali sebagai toxoplasma yang akan mengakibatkan dijangkiti penyakit Toxoplasmosis.

Bakteria tersebut terhasil daripada tanah atau pasir tercemar yang melekat pada sayuran tersebut.

Bakteria lain yang boleh hidup pada sayur atau buah yang tidak bersih ialah E. Coli, Salmonella dan Listeria. Bakteria ini boleh muncul pada sayuran dan buahan ketika proses penghasilan, pembungkusan, penyimpanan, penghantaran dan penjualan sayuran tersebut. Ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan dengan cara menyebabkan kerosakan mata dan ketidakmampuan intelektual kepada bayi yang dikandungan apabila membesar.

Bagaimanapun, mereka yang dijangkiti penyakit Toxoplasmosis tidak akan berhadapan dengan sebarang gejala atau simptom yang ketara. Ia akan mengalami gejala normal seperti selsema dalam tempoh masa singkat. Namun, ada beberapa kes ia akan menunjukkan kesan pada bayi seawal kelahiran apabila bayi mengalami kerosakan pada mata dan otak.

Makanan Pantang #2: Makanan mentah

Sekiranya sebelum ini anda merupakan penggemar tegar makanan mentah atau separuh masak seperti sushi, telur mentah dan lain-lain makanan mentah, maka disarankan untuk mengehadkan tabiat tersebut sewaktu hamil.

Makanan ini termasuk dalam makanan pantang ibu mengandung kerana kajian mendapati makanan mentah mendedahkan ibu hamil kepada bakteria, virus dan parasit hidup yang berpotensi mengganggu perkembangan kandungan sewaktu tempoh kehamilan terutama pada peringkat awal kehamilan.

Daging mentah mudah terdedah dengan bakteria Listeria dan ia sangat berbahaya untuk kandungan. Anda cuma perlu pastikan makanan yang anda ambil telah dimasak dengan sempurna dan bersih cara penyediaannya.

Jadi, elak makan daging mentah, susu mentah, telur mentah atau apa sahaja makanan mentahyang boleh mendatangkan pelbagai komplikasi buruk.

Ia juga boleh merebak dalam tubuh dan kandungan menyebabkan jangkitan dikenali jangkitan intra-uterine serius kepada bayi dalam kandungan. Parasit ini bukan sahaja wujud pada makanan mentah seprti daging, telur dan lain-lain bahkan ia juga ada pada sayur-sayuran yang tidak dibasuh dengan bersih dan sempurna.

Makanan Pantang #3: Makanan dan minuman berkafein

Pengambilan makanan atau minuman berkafein dalam kuaantiti yang sedikit sebenarnya tidak mendatangkan sebarang mudarat kepada ibu hamil mahupun bayi dalam kandungan. Cuma ia menjadi berbahaya dan mendatangkan mudarat apabila diambil dalam kuantiti yang berlebihan dalam tempoh masa berterusan.

Bayi yang akan dilahirkan berisiko untuk kurang berat, kelahiran pra-matang atau lebih parah ibu kaan berdepan dengan risko keguguran. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh NHS Choices.

Kafein bukan sahaja didapati dalam kopi tetapi dalam minuman soda, minuman tenaga atau teh dan minuman bercoklat.

Ia juga akan menjurus kepada perkembangan bayi dalam kandungan yang tidak normal, menganggu kepada tumbesaran bayi dan menyebabkan berat badan tidak normal atau kurang berat sewaktu lahir. Kafein juga akan menyebabkan komplikasi lain kepada ibu seperti ia akan merosakkan kandungan kalsium dalam tulang.

Kuantiti bagi kafein yang harus dihadkan oleh wanita hamil hanya boleh mengambil sebanyak 200mg setiap hari atau bersama 2-3 cawan. Kafein menjadi berbahaya kerana ia bertindak dan pantas merebak masuk ke dalam plasenta.

Bayi yang lahir dengan berat badan tidak normal akan berisiko kepada kematian sewaktu proses kelahiran. Selain itu, penyakit kronik boleh dihidapi oleh bayi seperti penyakit diabetes dan penyakit jantung apabila sudah dewasa. Khasiat zat besi tidak dapat dibekalkan dengan sempurna kepada ibu dan berpotensi tinggi untuk kelahiran pra-matang jika mengambil kafein secara berlebihan dalam menu pemakanan.

Makanan Pantang #4: Organ dalaman

Sebahagian daripada kita sememangnya penggemar tegar organ dalaman ayam ataupun lembu. Walaupun organ dalaman membekalkan vitamin A dan mempunyai sumber nutrien Verschillende, namun ia bukanlah sajian yang baik dan tidak harus diambil secara kerap oleh wanita hamil.

Antara risiko kesihatan yang tidak baik dalam pengambilan organ dalaman seperti hati ayam ialah kepada bayi untuk mengalami kecacatan pada wajah, kepala dan jantung ataupun kecacatan semasa kelahiran dan juga masalah toksik hati yang teruk. Ia berpunca daripada kandungan toksik dan sisa buangan yang tinggi terkumpul pada organ dalaman tersebut.

Jangan ambil organ dalaman lebih daripada sekali dalam tempoh seminggu.
Organ dalaman adalah antara organ yang menjalankan fungsi perembesan dan memproses segala sisa dan toksik dalam tubuh. Jadinya, ia tidak bermanfaat untuk menjadi salah amalan dalam pemakanan terutama bagi wanita hamil.

Makanan Pantang #5: Makanan manis, berkalori tinggi dan tinggi MSG

Makanan yang mengandungi kadar gula, Monosodium glutamate (MSG), dan kalori yang tinggi tidak baik bagi wanita hamil. Ia bagi memastikan perkembangan bayi normal dan kesihatan ibunya juga akan terjaga daripada sebarang risiko penyakit berbahaya dan mengancam nyawa kedua-duanya.

Semua jenis makanan ini harus dihindari kerana akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit berbahaya seperti penyakit diabetes ketika hamil (diabetes gestasional).

Anda bukan langsung tak boleh ambil makanan ini, tetapi kuantitinya perlu berpada-pada.
Sebaiknya lebihkan makanan berkhasiat dan sihat, membekalkan sumber nutrient dan vitamin yang baik untuk kesihatan tubuh badan anda dan bayi dalam kandungan.

Makanan Pantang #6: Kekacang

Pengambilan kekacang adalah dilarang bagi wanita hamil yang mempunyai sejarah penyakit alahan pada diri sendiri ataupun ahli keluarga yang lain. Ia adalah cara bagi mengelakkan bayi dalam kandungan mempunyai alahan yang sama.

Apa pun kuantiti yang diambil juga haruslah dipantau dan dikawal. Antara penyakit yang boleh dihidapi oleh bayi adalah penyakit alahan, asthma, dan penyakit lain.

Kekacang kaya dengan sumber protein, namun bagi wanita hamil yang mempunyai sejarah alahan dan sejarah penyakit G6PD, hindarkan daripada mengambil kekacang.

Makanan Pantang #7: Makanan ringan

Amalan pemakanan makanan ringan haruslah dielakkan sama sekali bagi memastikan kesihatan anda sentiasa terjamin.

Ini kerana, makanan ringan rendah dengan vitamin dan nutrisi yang tidak lengkap serta tidak sesuai dijadikan makanan rutin untuk ibu hamil. Kandungan kalori, gula dan lemak tambahan yang sangat tinggi akan membahayakan diri anda dan bayi anda. Ia membawa risiko diserang pelbagai penyakit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan macam-macam penyakit kronik yang lain.

Anda juga akan menghadapi pelbagai komplikasi ketika proses melahirkan anak seperti diserang diabetes gestasional atau dikenali sebagai diabetes ketika hamil. Jauhkan diri daripada sebarang makanan ringan sama ada keropok, kentang goreng segera, kerepek segera dan makanan yang diproses.

Akhir sekali, pemakanan yang baik akan menentukan gaya hidup kita sama ada ianya sihat dan selamat untuk kita dan kandungan. Bagi memastikan anak anda lahir dengan sempurna dan dalam keadaan sihat, anda perlu memainkan makan makanan yang memberi manfaat dan khasiat.

Artikel ini pernah diterbitkan dalam www.butterkicap.com