Persatuan farmasi: Kerajaan perlu runding dengan pembekal untuk kawal harga ubat

80% daripada ubat-ubatan kita masih lagi diimport. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menyokong hasrat dan usaha kerajaan untuk mengawal harga ubat-ubatan di negara ini demi kebaikan rakyat.

Presidennya Amrahi Buang berkata, antara langkah yang boleh dilakukan ke arah itu ialah berunding dengan pembekal, pengimport, pengilang dan pengeluar ubat supaya harga dapat dikawal secara teratur dan bersistematik, selain membawa situasi “menang-menang” untuk semua pemegang taruh, khususnya pengguna.

“Seperti di sesetengah negara, kerajaan sendiri boleh berunding dengan pengilang dan pengimpot.

“Kita boleh kawal. Apabila kerajaan mengambil peranan itu, jadi mudah, sebab kita perlu jaga industri dan pengimport kerana 80% daripada ubat kita masih lagi diimport,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan mahu menyediakan kertas cadangan berhubung pelaksanaan kawalan harga ubat-ubatan melalui undang-undang sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, mekanisme kawalan yang dicadangkan adalah harga jualan siling kepada pengguna di semua saluran pendispensan yang sesuai untuk dilaksanakan dan selari dengan amalan antarabangsa.

Dzulkefly berkata, ia juga secara tidak langsung dapat menyelaraskan harga ubat dan memastikan akses ubat-ubatan mampu beli kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, kerajaan boleh memainkan peranan itu kerana ia mempunyai kuasa dan kemahuan politik untuk melaksanakannya demi kemaslahatan rakyat.

“Ia satu langkah yang terpuji kerana ubat-ubatan bukanlah komoditi biasa dan tidak bersifat elastik,” katanya.

Mengulas isu sama, timbalan presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya mengharapkan penyelarasan harga ubat oleh kerajaan tidak terlalu tinggi dan mampu dibeli oleh pengguna.

“Penyakit bukanlah sesuatu yang kita minta, apatah lagi ubat perlu diambil secara kerap. Ada ubat yang perlu diambil setiap hari seperti ubat kencing manis dan darah tinggi.

“Justeru, harganya perlu rendah dan tidak membebankan pengguna, apatah bagi ubat penyakit lebih kronik seperti sakit jantung,” katanya.