Sarawak perlu buka gelanggang politik lebih besar, kata penganalisis

Awang Azman menjangka GPS sedang memikirkan strategi bagi menghalang kemaraan parti komponen PH di Sarawak. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Sarawak seharusnya membuka gelanggang politik yang lebih besar bagi menyediakan peluang dan ruang untuk rakyat menilai dan memilih yang terbaik buat diri mereka.

Penganalisis politik Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, pada pilihan raya lalu, sebanyak 12 kerusi Parlimen dimenangi oleh parti bukan berasaskan Sarawak.

“Ini bermakna rakyat Sarawak lebih terbuka dan sebarang usaha untuk mencadangkan hanya parti 100% berasaskan Sarawak dibenarkan bergerak di negeri itu sukar dilaksanakan.

“Ini kerana akan timbul isu dari segi perundangan kerana seolah-olah terdapat usaha untuk menyekat kebebasan berpersatuan dan berparti dari segi perlembagaan,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg yang mencadangkan hanya parti 100% berasaskan Sarawak dibenarkan bergerak di negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata, mungkin perlu digalakkan penubuhan parti pembangkang baru yang berasaskan Sarawak sepenuhnya serta tidak bersekutu dalam apa jua cara pun dengan parti politik bukan dari Sarawak untuk menyertai politik negeri itu.

Mengulas lanjut, Awang Azman turut menjangka Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang memikirkan strategi politik bagi menghalang kemaraan parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sarawak.

“Isu ini juga dibangkitkan apabila dihebahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dilancarkan pada awal Disember ini. Dengan itu akan wujud pilihan pengundi bagi Bumiputera di Sarawak, selain PKR dan Amanah.

“Kemasukan PPBM, Amanah, PKR, malah DAP dalam kawasan Bumiputera boleh mengugat kedudukan GPS sekiranya tidak ada usaha untuk menyekat kemaraan parti komponen PH di Sarawak. Akhirnya komponen PH sarawak akan berkampung, berkempen dan cuba mengambil alih kedudukan GPS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Awang Azman berkata, sehingga kini orang Melayu dan Melanau merupakan penyokong kuat GPS, manakala etnik Bidayuh mula beralih menyokong PKR dan DAP.

“Etnik Iban masih kekal bersama GPS apabila tidak ada jawatan Kabinet bagi orang Iban dan peruntukan luar bandar banyak dipotong oleh kerajaan PH yang merugikan etnik itu di luar bandar,” katanya.

GPS merupakan gabungan 4 parti bekas komponen Barisan Nasional yang ditubuhkan pada 12 Jun tahun ini berikutan kekalahan BN dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Ia terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS kini mempunyai 19 wakil di Dewan Rakyat, dan menguasai Dewan Undangan Negeri Sarawak dengan 72 daripada 82 kerusi. Abang Johari yang dipilih sebagai ketua menteri mewakili PBB.