Streram berharap jadi calon PKR di DUN Rantau

SEREMBAN: Calon PKR Dr Streram Sinnasamy berharap menjadi calon PKR di DUN Rantau selepas berjaya dalam petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-14 bagi kawasan tersebut.

“Saya telah berkhidmat kepada pengundi Rantau walaupun selepas pilihan raya umum ke-14,” katanya, dan menambah kepimpinan PKR negeri juga melantiknya menjadi penyelaras kawasan.

Pakar bius ini berkata dia menyumbang khidmat kepada pengundi Rantau dari 2 tahun sebelum pilihan raya umum lagi.

“Tetapi saya juga sedar siapa yang bertanding adalah prerogatif kepimpinan parti,” kata Streram kepada FMT selepas Hakim Mahkamah Pilihan Raya Azimah Omar mengumumkan kerusi tersebut kosong.

Dia memfailkan cabaran itu kerana pegawai pengurus pilihan raya Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya menafikan haknya untuk bertanding apabila melarangnya memasuki pusat penamaan Dewan Sri Rembau pada 28 April.

Tidak lama selepas pencalonan ditutup, Agos mengisytiharkan penyandang Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, sebagai pemenang kerusi DUN Rantau.

Streram, yang berada di mahkamah untuk prosiding itu, menggambarkan keputusan mahkamah sebagai kemenangan untuk demokrasi.

“Hakim dengan jelas berkata seorang calon mempunyai hak perlembagaan untuk menawarkan diri untuk bertanding,” katanya.

Azimah berkata 27,000 pengundi DUN Rantau untuk mempunyai hak undang-undang untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Apa yang berlaku pada hari penamaan bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya.

Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN pada pilihan raya 9 Mei.

Mohamad diberi masa 14 hari untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi. SPR akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh hari penamaan dan pengundian pilihan raya kecil jika tidak merayu.

Peguam Mohamad Hafarizam Harun berkata anak guamnya akan berunding dengan pihak berkaitan sebelum menentukan langkah seterusnya.