Tok Mat sedia berdepan Rafizi, siapa sahaja di Rantau

KUANTAN: Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berikrar akan berusaha sehabisnya dalam mempertahankan kerusi DUN Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan.

Mohamad yang menyandang kerusi itu sejak 2004 menambah ia termasuk berdepan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang dikatakan antara nama yang dipertimbangkan Pakatan Harapan untuk bertanding.

“Terpulang pada mereka hendak letak siapa bertanding. Saya bersedia berdepan sesiapa sahaja. Sudah tentu saya akan berjuang habis-habisan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Umno Pahang di Kompleks Yayasan Pahang hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan pengerusi Umno negeri.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Tinggi Seremban semalam memutuskan kemenangan Mohamad tanpa bertanding pada pilihan raya umum lalu terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas calon PKR Dr S Streram memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Mohamad, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan pada 23 lalu.

Media hari ini melaporkan, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan nama Rafizi ada dibangkitkan sebagai calon. Bagaimanapun, keputusan calon PH daripada PKR masih di peringkat perbincangan.