Dr Mahathir: ICERD mustahil dilaksanakan

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mustahil dilaksanakan kerana pelaksanaannya memerlukan Perlembagaan Persekutuan digubal semula, lapor Berita Harian.

“Untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan 2/3 majoriti Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26 di Port Moresby, Papua New Guinea hari ini.

Beliau menambah penggubalan Perlembagaan Persekutuan “agak mustahil” dilakukan memandangkan jumlah dan reaksi wakil-wakil rakyat di pihak kerajaan dan pembangkang berhubung perkara terbabit.

Sebelum ini, PPBM dan Amanah di pihak kerajaan dan Umno dan PAS di pihak pembangkang menolak pengesahan ICERD. Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta pengesahan ICERD ditangguhkan jika ia menimbulkan ketegangan.

PAS dan Umno, 2 parti Melayu dan Islam terbesar, dilapor akan mengadakan tunjuk perasaan bersama bagi membantah rancangan mengesahkan ICERD di ibu negara pada 8 Disember ini.

Perdana menteri hari ini memberi jaminan sebarang bantahan terhadap ICERD tidak akan membawa kepada rusuhan, kecuali ia dimulakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kecuali Zahid memulakan kekecohan, tidak akan berlaku rusuhan berhubung ICERD,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri sedar ICERD menjadi isu yang sensitif kepada orang Melayu.

“Kita boleh bincang perkara ini kerana kita tidak menolak pendapat orang ramai, malah dalam ucapan saya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, saya ada menyentuh berhubung kerumitan melaksanakannya, sama ada secara keseluruhan atau tidak,” katanya.