Bekas hakim: Autonomi lebih besar kepada negeri hampir mustahil

Bekas hakim, Gopal Sri Ram.

PETALING JAYA: Memberi lebih banyak kuasa kepada negeri merupakan tugas sukar kerana fakta sejarah di sebalik penubuhan Persekutuan Malaysia, kata bekas hakim, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Beliau berkata, desentralisasi beberapa perkara di negeri Malaysia Barat boleh dilakukan hanya dari sudut teori.

“Akan tetapi realitinya, di negeri yang dikuasai pembangkang, kerajaan pusat mahu menangani masalah melalui agensi persekutuan bagi memastikan rakyat di negeri terbabit sedar bahawa Putrajaya merupakan pihak yang menjaga keperluan mereka, bukannya kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.

Sri Ram berkata, ia merupakan langkah populis bagi memenangi hati dan minda pengundi di negeri berkenaan.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu berbeza bagi Sabah dan Sarawak kerana mereka menyertai Persekutuan Malaysia sebagai rakan rongsi setaraf.

“Justeru, mereka berhak mendapat autonomi lebih besar,” katanya.

Sri Ram berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang berharap kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan desentralisasi fiskal dan autonomi dasar di negeri.

Baginda menggesa Putrajaya mencontohi amalan terbaik daripada negara persekutuan demokratik lain di seluruh dunia.

“Berpandukan pertimbangan politik sejak sekian lama, Malaysia semakin dikenali sebagai negara persekutuan yang paling terpusat di dunia.

“Baru-baru ini rakyat membuktikan bahawa Malaysia boleh menjadi sebuah negara demokrasi yang lebih baik,” titah baginda.

“Beta berharap kerajaan persekutuan yang baru akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menimbangkan dengan serius isu desentralisasi fiskal dan autonomi dasar di negeri, dengan mencontohi amalan terbaik daripada negara persekutuan demokratik lain di seluruh dunia,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian semasa penyampaian titah baginda sempena pelancaran buku tulisan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus, bertajuk “Celebrating JUdicial Independence” pada 8 Nov lepas.

Minggu lepas, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) juga meminta dikurangkan kawalan kerajaan pusat bagi memberi ruang kepada negeri mengurus hal-ehwal mereka sendiri, termasuk perkara penting seperti pendidikan dan penentuan dasar.

Gooi berkata, ciri “persekutuan” Pulau Pinang hari ini, seperti juga negeri lain di negara ini, menghimpit autonomi negeri dan pengembalian wang pembayar cukai yang patut diterima mereka.

Sri Ram berkata, persekutuan Malaysia berbeza daripada Amerika Syarikat (AS), India, Kanada dan Australia.

Dalam kes AS katanya, negara itu terbentuk daripada perang revolusi terhadap England dan diikuti oleh rundingan kemasukan dalam kalangan negeri terbabit.

“Jadi negeri mempunyai autonomi jauh lebih besar di AS,” tambah beliau.

Beliau berkata, India tidak menerima perlembagaan yang diberikan oleh British kepada mereka pada 1939, sebaliknya mereka menggubal perlembagaan sendiri yang menerima masuk beberapa wilayah lain.

“Ada British India, Negeri Beraja dan Wilayah-wilayah. Persekutuan India terpaksa memberi autonomi lebih besar kepada negeri dalam beberapa perkara,” katanya.