Melancong secara berjimat menjadi impian semua orang, kecuali anda sudah merancang untuk percutian mewah.

Anda mungkin biasa membaca tips dan helah melancong menggunakan beberapa ribu ringgit sahaja, jauh lebih murah daripada perbelanjaan konvensional. Bagaimana ia mungkin?

Kami kongsikan 5 tips dibawah.

1Guna kemudahan wifi percuma

Melainkan anda seorang ahli perniagaan yang sangat sibuk dan perlu mengendalikan penggilan dari masa ke masa, gunakan perkhidmatan wi-fi percuma yang boleh didapati di kafe-kafe atau hotel.

Di kebanyakan bandar raya utama dan premis tertentu, wifi disediakan untuk kegunaan pelanggan secara percuma. Maka dengan memuat turun aplikasi seperti FaceTime dan WhatsApp untuk menghantar mesej, anda tidak perlu merugikan wang anda.

2Layari atau cari aktiviti percuma

Layari aktiviti-aktiviti percuma yang disediakan di bandar atau perkampungan pelancongan yang bakal anda lawati. Patsinya ada aktiviti yang dianjurkan oleh badan kebudayaan atau pelancongan, kementerian, pihak berkuasa tempatan secara percuma. Gunakan tawaran itu dengan berhemah, kadang-kala ia amat berbaloi apatah lagi jika anda bersama keluarga besar, banyaklah berjimat!

3Lawat tempat menarik yang tidak kenakan bayaran

Banyak tempat-tempat menarik yang tidak kenakan bayaran langsung kepada pengunjung, mungkin sekadar tips kepada pemandu pelancong. Gunakan peluang tersebut sebaiknya. Banyak aktiviti murah dan percuma disediakan untuk pelancong yang tidak dipromosi secara besar-besaran, maka andalah yang kena rajin mencarinya.

Di London misalnya, ada 23 muzium yang tidak mengenakan bayaran masuk; di Madrid, Sepanyol, Museo del Prado juga menawarkan masuk percuma untuk 2 jam terakhir operasi hariannya.

4Kawal pemakanan, beli berhemah, buat sendiri

Belanja makanan pun boleh dikurangkan jika anda bijak mengurus. Misalnya, sebaik berada di satu-satu lokasi, kunjungi kedai runcit tempatan dan dapatkan makanan seperti roti, jus, telur, daging segera sandwic, keju dan sebagainya untuk dibuat sendiri. Jika tempat tinggal anda ada kemudahan masak, gunakan sebaiknya.

Sekiranya tinggal di hotel, makan sarapan pagi sepuasnya di hotel yang mana lazimnya ditawarkan bersama-sama pakej. Ada bakeri yang menjual makanan pada harga separuh atau jauh lebih murah menjelang petang, beli dan gunakan untuk makan malam.

5Muat turun aplikasi mesra pelancong

Anda pun tahu kewujudan pelbagai aplikasi mesra pelancongan. Ia boleh jadi aplikasi umum seperti Trip Advisor atau Agoda.com ataupun aplikasi setempat. Ia akan memudahkan perjalanan anda, hindari dari kekeliruan dan kerugian masa dan tenaga, kadang-kala wang anda juga.

Aplikasi ini juga turut menyediakan tawaran tertentu, gunakannya dengan bijak.