Chandra gesa batal fatwa anti-Syiah

Aktivis sosial, Chandra Muzaffar berkata, kelompok elit agama perlu memainkan peranan lebih besar bagi menghentikan kebencian terhadap penganut Syiah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktivis sosial Dr Chandra Muzaffar menggesa pembatalan fatwa tahun 1996 yang menetapkan Syiah sebagai ajaran yang menyimpang daripada Islam.

Chandra memberitahu FMT bahawa beliau percaya fatwa itu tersilap dan penganut fahaman Syiah tidak bertentangan dengan Islam kerana seperti pengikut mazhab Ahli Sunnah, mereka mnerima al-Quran sebagai wahyu dan beriman dengan keesaan Allah.

Isu penindasan agama muncul kembali baru-baru ini apabila pengerusi pertubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa mengadu tentang berterusannya kecaman terhadap penganut Syiah dalam khutbah Jumaat dan berkata, “tidak berlaku perubahan dalam isu berkaitan Islam” sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa kerajaan.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menteri hal-ehwal agama Islam, dalam respons berkata, satu garis sempadan perlu dibuat berkaitan pengucapan kebencian.

Mujahid yang tidak mengkritik fatwa berkenaan berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak berkuasa agama negeri dalam perkara itu.

Chandra berkata, tidak dinafikan wujudnya antagonisme terhadap penganut Syiah walaupun ia tidak melibatkan semua orang Islam di negara ini.

Beliau mendakwa, “pemikiran sempit pengikut Wahhabi” dalam kalangan “kelompok berpengaruh tertentu” bertanggungjawab meningkatkan antagonisme itu sejak kebelakangan ini.

Beliau juga berkata, wujud perkaitan antara perkembangan itu dengan perang saudara yang berlaku di Syria, sebuah negara majoriti Sunni, tetapi diperintah oleh Bashar al-Assad yang bermazhab Syiah.

Katanya, kumpulan yang ada hubungan dengan pihak di Arab Saudi dan Lebanon mengapi-apikan masyarakat supaya melihat perang yang berlaku di Syria sebagai contoh seorang pemimpin sekular Syiah menindas orang Sunni.

“Antara tahun 2012 dan 2015, berdasarkan naratif palsu di Syria, antagonisme terhadap pengikut Syiah mencapai puncaknya dan terdapat pihak dalam kerajaan serta pertubuhan sivil di Malaysia yang menyemarakkan sentimen tersebut.”

Chandra berkata, walaupun beliau percaya sentimen anti-Syiah tidaklah begitu kuat sekarang berbanding beberapa tahun lepas, namun wujud keperluan yang menuntut kelompok elit agama memainkan peranan lebih besar dalam menghentikan kebencian itu.

Beliau menyeru supaya semua pihak kembali kepada Risalah Amman 2004 yang turut ditandatangani oleh beberapa pemimpin dari Malaysia, termasuk presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Risalah Amman merupakan deklarasi oleh beberapa pemimpin negara Islam ke arah perpaduan dunia Islam dan pengiktirafan mazhab Ahli Sunnah, Syiah dan Ibadi.

Penulis Faisal Tehrani memberitahu FMT bahawa beliau berharap Mujahid, seorang lulusan Universiti Al-Azhar, komited kepada fatwa Al-Azhar bahawa penganut Syiah tidak sesat.

Beliau juga berkata, Deklarasi Islamabad 2007 yang selari dengan Risalah Amman, turut menyeru supaya dihentikan kecaman terhadap aliran Islam yang berbeza.

Katanya, Mujahid perlu mengambil langkah mula menghentikan kebencian terhadap penganut Syiah memandangkan beliau pernah menghadiri seminar di Iran, sebuah negara majoriti Syiah, sebelum menjadi menteri.

Beliau mencadangkan agar Mujahid mengadakan sesi dialog dengan pengikut Syiah di Malaysia.

Faisal juga bercakap tentang Pelan Tindakan Rabat 2013 yang digubal oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menggariskan takrif kebebasan bersuara serta pengucapan kebencian.

Dalam pemerihalannya tentang pengucapan kebencian, dokumen itu merujuk kepada “tanda-tanda jenayah”.

“Dalam banyak keadaan, khutbah Jumaat bercakap tentang ‘penghapusan’ pengikut Syiah,” katanya. “Itu jenayah, rasa saya.

“Saya tidak faham kenapa kita perlu membangkitkan kebencian. Kebencian sangat salah. Ia anti-agama dan tidak bersifat Melayu juga,” katanya.