Gula, antara fakta dan auta

Gula… oh gula, semanis namanya, seburuk pengambilannya.

Semua orang pasti sedar mengenai bahaya gula. Namun ia tidak bermakna kita mengurangkan pengambilannya dalam makanan mahupun minuman. Malah, kita tidak boleh mengelak langsung pengambilan manisan sepanjang hidup kita.

Namun tahukah anda bukan gula yang menjadi penyebab utama masalah kesihatan tetapi, menurut pakar kimia, penyakit jantung dan obesiti berpunca daripada lemak tepu di dalam gula yang dijual di pasaran dan bukan gula itu sepenuhnya.

Terdapat banyak mitos mengenai gula yang ramai tidak sedar, seperti fakta yang dinyatakan di atas. Maka, FMT Ohsem akan membawa anda kepada satu pembongkaran mengenai gula yang selama ini mungkin tidak diketahui. Mari kita lihat satu persatu.

1Gula merah, madu lebih baik dan sihat dari gula putih

Laman Insider dalam satu laporan memetik kata pakar kardiologi dari Hospital Columbia Presbyterian di New York, Dr. Jennifer Haythe, menyatakan tiada perbezaan ketara dalam jenis gula, gula putih, merah, madu atau apa sahaja. “Mereka semua akan dipecahkan menjadi glukosa. Semua jenis gula adalah karbohidrat yang boleh digunakan sebagai glukosa,” katanya.

2Gula buat anak hiperaktif

Rupanya tiada perkara seperti itu. Menurut Food For Fitness, pelbagai kajian menunjukkan gula tidak berhubung kait dengan keadaan hiperaktif kanak-kanak sebaliknya ia hanya kepercayaan yang akhirnya mempengaruhi psikologi. “Bila kanak-kanak diberikan banyak gula? Dalam sesebuah majlis seperti hari jadi atau sambutan. Ternyata kanak-kanak akan menjadi suka, riang dan teruja. Jadi mereka akan kelihatan aktif, bukan kerana gula tetapi ‘acara’ tersebut,” tulisnya.

3Elak buah kerana mengandungi gula tinggi

Tahukah anda buah-buahan juga mengandungi gula seperti sukrosa dan fruktosa? Tetapi kita selalu sahaja disaran makan buah. Menurut Food for Fitness, buah meningkatkan reaksi insulin dan mengawal glukosa darah pada tubuh obes. Ini khususnya menerusi pengambilan buah-buahan seperti manga dan beri biru. Saintis percaya kandungan phytokimia dalam buah membantu menyerasikan cara kita menghadam karbohidrat dan kawal kandungan glukosa dalam darah. Kesimpulannya, gula dalam buah membantu mengawal berat badan.

4Ketagihan gula

Tiada istilah ketagihan gula dalam erti kata sebenar. Perkara tersebut disahkan dalam menerusi pelbagai kajian sains. Jadi kalau ada orang beritahu “saya ketagihan gula,” ingatkan mereka ia hanya mitos. Menurut laman The Daily Meal, pengambilan gula mengaktifkan otak dan sistem mesolimbic dopamine yang menawarkan ‘rasa hebat’ pada minda.

Apabila otak menerima signal ‘rasa hebat’, maka kita cenderung untuk terus menikmati makanan bergula. Itu adalah sebab sebenar di sebalik rasa ingin makan makanan manis.

5Pengambilan gula menyebabkan penyakit diabetes

Sebenarnya, diabetes berpunca daripada faktor genetik dan alam sekitar, diet bergula tidak semestinya menjadi penyebab utama. Dr.Haythe berkata diabetes bukan disebabkan makanan bergula tetapi komplikasi yang membabitkan pankreas dan matabolisme. Seseorang lebih mudah dihidap diabetes sekiranya obes kerana lemak tambahan boleh menyebabkan rintangan insulin, petik Institut Diabetes dan Penyakit Ginjal Kebangsaan, Amerika Syarikat.