Loke tak gentar disaman speaker Dewan Negara kerana dedah klip CCTV KLIA

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook tidak gentar dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran yang mahu menyamannya kerana menceroboh privasinya susulan pendedahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beliau melanggar peraturan keselamatan di laluan VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Loke bertegas tidak melakukan sebarang kesalahan atau menyalahgunakan kuasa sebagai menteri pengangkutan kerana tindakannya itu untuk melindungi pegawai di KLIA.

Beliau turut mempertahankan dirinya berhubung pendedahan rakaman CCTV itu dengan berkata, isu itu mengenai Vigneswaran, bukan keluarganya.

Katanya, isu itu di bawah bidang kuasanya kerana Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah membuat laporan kepadanya.

“MAHB buat laporan kepada menteri pengangkutan. Sebagai menteri pengangkutan, lapangan terbang itu adalah bidang kuasa di bawah Kementerian Pengangkutan.

“MAHB adalah operator lapangan terbang, bukan untuk dia (Vigneswaran) cakap apa bidang kuasa saya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Vigneswaran yang juga presiden MIC dilaporkan berkata saman itu bertujuan melindungi maruah isteri dan anaknya yang tercemar, selepas Loke menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri untuk mendedahkan video CCTV sehingga mengundang banyak kritikan negatif terhadap beliau sekeluarga.

Sementara itu, Loke turut mengkritik Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk S Rajah yang mengaitkan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin memakai selipar ketika menggunakan laluan VIP KLIA dengan kejadian Vigneswaran.

“Ini menunjukkan kebijaksanaan pemimpin MIC tentang bagaimana mereka memahami isu sebenar yang berlaku.

“Ini bukan tentang sandal atau selipar. Kita bercakap tentang seseorang yang masuk ke tempat larangan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan laluan VIP. Isu yang ‘simple’ begini pun mereka tak boleh faham, patutlah parti itu ditolak komuniti India.”

Terdahulu, Rajah dilaporkan mencabar Loke membuat laporan polis terhadap Daim yang sering memakai selipar ketika menyambut delegasi antarabangsa selaku wakil perdana menteri.

“Kesalahan Tun Daim lagi besar kerana beliau memakai selipar ketika menjadi wakil perdana menteri. Kenapa beliau tidak dituduh? Tiada laporan polis?” soalnya.

Loke sebelum ini meminta Vigneswaran memohon maaf secara terbuka kerana melanggar peraturan keselamatan di laluan VIP KLIA.

“Soal memakai selipar masih boleh dimaafkan, namun sikap yang ditunjukkan pemimpin itu seharusnya tidak dimaafkan, walaupun beliau bertaraf golongan kenamaan,” katanya Sabtu lalu.