Polis siasat edaran risalah agama bukan Islam di Kedah

Edaran risalah itu mempunyai persamaan dengan kes di Pulau Pinang, baru-baru ini. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian mengedarkan risalah agama bukan Islam di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani diminta tampil ke balai polis berhampiran menyalurkan maklumat itu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata setakat ini terdapat 1 laporan polis mengenai kejadian itu di kampung tersebut dan pihaknya kini sedang menyiasat perkara berkenaan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata setakat ini belum ada tangkapan dibuat, bagaimanapun polis memantau perkara itu dari semasa ke semasa.

“Kita tengah siasat kejadian ini, dan belum dapat mengenal pasti suspek… bahan (edaran itu) setakat ini ada persamaan dengan di Pulau Pinang, kemungkinan orang sama (edar). Risalah keagamaan ini bertajuk “How To Know God”, dalam (versi) bahasa Tamil dan Inggeris.

“Kita siasat kejadian ini di bawah Seksyen 298 ini kerana perbuatan ini menyinggung perasaan umat Islam, semua tahu Kampung Sungai Emas ini majoritinya orang Melayu, Islam… kenapa pergi edar di sana, perbuatan ini menjadikan umat Islam rasa terganggu,” katanya.

Isu itu timbul apabila seorang penduduk di kampung itu ternampak kelibat beberapa lelaki mencurigakan berjalan dari rumah ke rumah pada pukul 3 pagi, 10 Nov lepas untuk mengedarkan risalah.

Imam Masjid Kota Raja Yahya Ismail, dipetik dalam laporan berita dalam talian sebagai berkata, penduduk kampung menceritakan hal itu kepadanya sebaik sahaja menyedari kewujudan risalah agama bukan Islam hampir di kebanyakan rumah di kampung berkenaan pagi itu.

Adzli berkata perbuatan itu jelas sekali melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah Datuk Dr Ismail Salleh pada sidang medianya berkata kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya perbuatan sedemikan yang bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.