Putrajaya akan siasat taman industri kosong di Pekan

Ong Kian Ming berkata, beliau mahu menyiasat kenapa wang berbilion ringgit yang diumumkan kerajaan BN sebelum ini tidak menjadi kenyataan.

KUALA LUMPUR: Putrajaya akan meneliti sebab di sebalik kegagalan Taman Industri Tanjung Agas di Pekan, menarik pelaburan ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming berkata, Pakatan Harapan sedar tentang perkembangan projek tersebut semasa masih menjadi pembangkang lagi.

“Saya pernah pergi ke kawasan itu. Infrastrukturnya tersedia, tetapi tidak ada pelaburan besar yang diumumkan.

“Saya berharap untuk melawatnya semula dan menyiasat kenapa wang berjumlah berbilion ringgit yang diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Ong menjawab pertanyaan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang meminta maklumat kemaskini tentang projek di Tanjung Agas yang sepatutnya dibangunkan sebagai sebuah taman perindustrian.

Tahun lepas, bekas menteri besar Pahang ketika itu, Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan projek berkenaan dibelenggu masalah.

Katanya, projek terssebut masih dalam peringkat perbincangan, dengan menambah pelabur asing berminat untuk membangunkan taman industri itu.

Adnan juga meminta orang ramai supaya bersabar, sekali gus menggesa mereka tidak melabelkan projek tersebut sebagai projek gajah putih.

Di Dewan Rakyat hari ini, Ong juga memberitahu bahawa Malaysia berjaya menarik pelaburan asing langsung bernilai RM25.2 bilion dari Januari ke Jun tahun ini.

Pelaburan terbesar, sebanyak RM15.2 bilion, adalah dalam sektor pembuatan, diikuti sektor perkhidmatan (RM6 bilion) dan sektor utama (RM5.3 bilion).

Pelaburan terbesar datangnya dari China sebanyak (RM6.6 bilion), Korea (RM2.4 bilion), Jepun (RM1.6 bilion) dan Singapura (RM800 juta).

Ong juga berkata, kerajaan bersedia meliberalisasikan dasar untuk menggalakkan pelaburan di negara ini, dan memudahkan pelabur menjalankan projek di sini.