Sultan Selangor arah tukar papan tanda jalan tulisan Cina

Sebelum ini tular di media sosial apabila penduduk Shah Alam mempersoalkan kewajaran papan tanda nama jalan dalam bahasa Cina. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Arahan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Dis ini,” demikian menurut beliau dalam surat bertarikh hari ini.

Titah baginda itu dipercayai susulan laporan media sebelum ini mengenai beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam yang sebelum ini ditulis dengan bahasa Melayu dan Jawi namun kemudian ditukar kepada tulisan Cina serta mengekalkan bahasa Melayu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Twitter milik seorang penduduk Shah Alam yang mempersoalkan kewajaran papan tanda nama jalan di kawasannya ditulis dengan bahasa Cina.

Individu berkenaan turut mempersoalkan ke mana menghilangnya tulisan Jawi yang sebelum ini digunakan pada papan tanda nama jalan itu.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika memberi maklum balas kepada pengguna Twitter tersebut memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Jan 2017 memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain daripada tulisan rumi.

Menurut MBSA, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi manakala di kawasan kampung baharu menggunakan tulisan bahasa Cina bersesuaian dengan komuniti penduduk di kawasan tersebut.