Mufti Pulau Pinang nafi sokong pemikiran liberal

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, fahaman Syiah perlu diakui sebagai satu mazhab dalam Islam supaya ia boleh diamalkan pengikutnya dengan bebas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menafikan beliau ialah penyokong dalam menyebarkan pemikiran liberal, selepas beliau meminta fatwa menetapkan Syiah ialah ajaran menyimpang daripada Islam yang diwartakan pada 1996 disemak semula, bukannya diubah.

Katanya, hukum tidak boleh ditetapkan mengikut kehendak sendiri, tetapi perlu berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadith yang sahih.

“Kita mesti faham bahawa fatwa adalah keputusan hukum secara ijtihad yang dikaitkan dengan al-Quran dan al-Hadith secara presumtif atau zanni. Justeru, ia bersifat manusiawi yang tidak sakral.

“Hanya Kitab Allah dan Hadith Sahih sahaja yang sakral kerana kedua-duanya merupakan sumber-sumber Ilahi. Ini bererti keputusan hukum atau fatwa yang berdasarkan ijtihad boleh betul dan boleh tersalah.

“Sebab itu tidak salah jika mana-mana fatwa disemak semula untuk dipastikan sama ada ia menepati kehendak syarak atau sebaliknya dan sama ada ianya masih relevan dengan zaman kini atau sudah tidak lagi relevan disebabkan perubahan situasi dan perkembangan masa.

“Saya tidaklah minta diubah fatwa berkenaan secara semberono, tetapi mencadangkan ia disemak semula. Andainya didapati ia menepati kehendak syarak, maka tidak perlulah diubah. Itu saja,” tulisnya di Facebook hari ini.

Semalam, Wan Salim dipetik Berita Harian sebagai berkata, fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula berdasarkan beberapa hujah, selepas mengambil kira konsensus mengenainya hanya bertentangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Katanya, ia boleh dilakukan selepas mengambil kira amalan penganutnya yang dilihat masih berada dalam lingkaran ajaran Islam, selain fahaman ASWJ tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

“Kita boleh semak semula dan mengiktiraf Syiah, walaupun ada beberapa kumpulan tertentu dalam mazhab ini dianggap terkeluar daripada Islam. Ia perlu dibuat berdasarkan hujah tekstual (al-Quran dan hadis sahih) serta rasional.

“Kita tak boleh memutuskan hukum berdasarkan kehendak sendiri, ia mesti dibuat mengikut dalil dan hujah. Selagi Syiah masih percaya kepada rukun Iman, maka mereka masih Islam dan perdebatan berkaitan elemen fiqah pula dibuat berdasarkan imam mereka,” katanya semalam.

Hari ini, Wan Salim berkata, fahaman Syiah perlu diakui sebagai satu mazhab dalam Islam supaya ia boleh diamalkan pengikutnya dengan bebas.

“Saya tidak nampak ada percanggahan di sini, sebab yang dibimbangi akan membawa kepada ketegangan dan perpecahan ialah apabila ada usaha menyebarkannya, tetap ini tidak akan berlaku jika mazhab ini hanya diamalkan dalam kalangan pengikutnya sahaja.”

Beliau turut mengingatkan ulama dan agamawan mengenai kehidupan dalam dunia moden serta tanpa sempadan yang menuntut manusia berfikiran lebih terbuka dan inklusif.

“Pemikiran yang tertutup dan jumud menghalang masyarakat Islam daripada mencapai kemajuan dan membangunkan semula tamadun seperti yang didambakan.”