Dr M: Belum ada kata putus benarkan pegawai awam terlibat politik

PUTRAJAYA: Kerajaan belum ada kata putus sama ada untuk membenarkan pegawai awam terlibat dengan politik, kata perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji kesamaran dalam dasar sedia ada.

“Kita tahu dalam pemerintahan kerajaan terdahulu ramai pegawai terlibat dengan politik termasuk berkempen dan memakai baju parti politik.

“Ini menjejaskan ketelusan pentadbiran negara kerana pegawai ini sudah tentu terika dngan parti berkenaan dan mereka akan mengambil tindakan berat sebelah dengan apa sahaja yang diputuskan oleh mereka,” katanya kepada pemberita di Perdana Putra hari ini.

Dr Mahathir tidak menolak ada pegawai yang dipilih menteri perlu menjalankan tugas-tugas politik, seperti kerja-kerja perhubungan awam.

“Pegawai-pegawai lain juga ada yang dibenarkan terlibat dengan politik seperti pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Oleh kerana perkara ini masih belum diperhalusi, kita tidak dapat buat apa-apa keputusan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata cadangan memisahkan fungsi pendakwa raya daripada fungsi peguam negara masih diteliti kerana ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

“Waktu ini kita belum mempunyai jumlah yang cukup 2/3 dalam Dewan Rakyat untuk menentukan pindaan ini dapat diluluskan sebab itu perkara ini ditangguhkan,” katanya.