Kumpulan Orang Asal Sabah sokong pengesahan ICERD

Pengerusi Perpaduan Anak Negeri Sabah Esther Golingi.

KOTA KINABALU: Satu NGO tempatan yang memperjuangkan hak Orang Asal menggesa kerajaan persekutuan mengesahkan perjanjian PBB mengenai menghapuskan diskriminasi kaum, asalkan ia selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perpaduan Anak Negeri Sabah berkata pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) harus tidak berlawanan dengan MA63, terutama mengenai peruntukan tanah untuk masyarakat Bumiputera.

“Pengecualian kepada hak-hak masyarakat Bumiputera mesti dihormati seperti dalam Deklarasi PBB Mengenai Hak-hak Pribumi yang diterima secara antarabangsa,” kata Pengerusi Esther Golingi kepada pemberita hari ini.

Golingi menepis dakwaan pengesahan perjanjian itu akan menjejaskan hak Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mengatakan ICERD didasarkan kepada mempromosikan prinsip adil dan keadilan sama rata bawah undang-undang, tanpa mengira kaum.

Beliau berkata ICERD juga mengecam sebarang agenda ketuanan kaum, yang beliau dakwa sudah membantutkan pertumbuhan negara.

“Malang sekali dalam konteks Malaysia, kaum itu termasuk agama,” katanya.

“Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan Melayu itu seseorang yang, antara lain, menganuti agama Islam, bercakap dalam Bahasa Melayu, dan mengikut budaya Melayu.

“Akibatnya, rakyat berketurunan Melayu yang meninggalkan Islam tidak lagi dianggap Melayu bawah undang-undang, dan hak istimewa Bumiputera yang diberikan kepada mereka bawah Perkara 153 Perlembagaan serta Dasar Ekonomi Baru dilucutkan.”

Begitu juga, katanya, seorang rakyat Malaysia yang berketurunan bukan Melayu yang memeluk agama Islam boleh menuntut hak istimewa Bumiputera dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat lain juga.

Golingi berkata isu itu daripada politik pusatan-Melayu di Tanah Melayu, dan menggesa orang Sabah menolaknya.

“Kita mesti menghargai dan berbangga dengan etnik yang Tuhan berikan kepada kita. Jangan keliru antara kaum dan agama. Kebanyakan masalah yang berlaku di negara kita disebabkan oleh khayalan tentang kaum dan agama. Marilah kita jujur kepada diri sendiri.”

Beliau menambah kepelbagaian kaum dan agama harus diraikan, dan itu adalah tanda negara yang matang.

“Mengguna pakai ICERD langkah pertama yang penting untuk memacu Malaysia ke arah menjadi negara progresif yang perlu untuk persaingan dalam masyarakat global,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar agama tidak dinyatakan dalam kad pengenalan, seperti yang dikatakan oleh pelapor khas PPBM mengenai kebebasan agama dan kepercayaan, Ahmed Shaheed, iaitu memaksa orang mengisytiharkan agama masing-masing dengan cara itu boleh membuka ruang kepada diskriminasi.

“Selain itu, Malaysia kini salah satu dari beberapa negara yang tidak mengesahkan ICERD, bersama Korea Utara, Angola dan Myanmar.

“Indonesia, yang etniknya lebih pelbagai berbanding Malaysia, telah mengesahkan ICERD.”