Maszlee seru pergiat silang budaya antara sekolah

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyeru lebih ramai pihak mengadakan aktiviti dan program silang budaya antara sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama bagi mencorak pemikiran generasi masa depan.

Maszlee berkata program seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, mungkin penawar kepada masalah perhubungan antara kelompok masyarakat berbeza.

“Anak-anak kita bagaikan kain putih yang hendak kita corakkan. Perlu kita adakan program-program bersama. Tak kenal maka tak cinta, tapi yang lebih bahaya, tak kenal akhirnya prejudis dan salah faham,” katanya di forum Bahasa Jiwa Bangsa di ibu negara malam tadi.

Maszlee berkongsi pengalamannya melawat sebuah sekolah Islam di Johor Bahru yang berkembar dengan sebuah sekolah Cina untuk merasmikan ulangtahun sekolah agama itu.

Beliau tersentuh melihat kedua-dua sekolah itu giat melakukan program secara bersama, dan anak-anak mereka bermain, bersukan dan makan sekali.

“Makan ini amat penting,” kata Maszlee, disambut tawa para hadirin. “Kalau bercinta, kita kata ‘dari mata, turun ke hati’. Dalam persaudaraan, mempereratkan tali persahabatan, ‘dari perut, naik ke hati’.”

Ucapan beliau mendapat tepukan gemuruh daripada 500 hadirin di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.

Forum malam tadi dianjurkan oleh DBP, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia dan Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional.

Menekankan betapa pentingnya Bahasa Melayu sebagai penyatu rakyat, Maszlee menggesa kerjasama mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan diperhebatkan.

“Golongan radikal dan pelampau berada di setiap pihak,” katanya kepada hadirin.

“Kesatuan ini perlu dijaga dengan kukuh. Saya yakin ramai jiwa ikhlas akan menjadi benih untuk muhibah dan kesaksamaan rakyat di masa depan.”

Di awal ucapannya, beliau memuji usaha DBP menterjemahkan sastera Cina kepada Bahasa Melayu agar kaum-kaum lain boleh memahami dan menghargai budaya, politik dan pemikiran masyarakat itu.

Beliau seterusnya menggesa DBP menterjemahkan sastera India dan hikayat rakyat daripada kaum Kadazan, Murut dan Dayak yang membentuk pandangan dunia mereka.

“Ini perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” katanya.