NGO: Undang-undang bukan cara atasi buli di sekolah

NUTP berkata perbezaan antara mendidik dengan mendera menggunakan rotan amat tipis.

PETALING JAYA: Kesatuan ibu bapa tidak melihat langkah memperkenalkan undang-undang sebagai satu cara mengatasi masalah buli membabitkan pelajar di sekolah, sebaliknya cukup sekadar satu polisi yang kuat untuk mengatasi masalah ini.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu dikaji semula bagi membolehkan guru lebih mudah mengikutinya apabila terdapat laporan berkaitan buli.

“Bagaimanapun, jika kita mempunyai guru-guru yang tidak cekap atau bersikap berat sebelah ketika menjalankan tugasnya, maka ia masih tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Bagi saya, polis juga tidak boleh terlibat dalam isu ini, kecualilah jika terdapat serangan,” kata Setiausaha Kehormat PAGE, Tunku Munawirah Putra kepada FMT.

Terdahulu, laporan dari kajian Children4 Change dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan WOMEN:girls mendedahkan 3 daripada 4 kanak-kanak yang terlibat dengan tinjauan pernah menjadi mangsa buli.

Malah, laporan tersebut menyatakan seramai 8 daripada 10 kanak-kanak mendakwa sekolah merupakan tempat sering berlaku kejadian buli, manakala 1 daripada 2 kanak-kanak mengklasifikasikan bilik darjah sebagai tempat berlakunya insiden buli.

Kajian yang dijalankan ke atas lebih 2,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun seluruh Malaysia juga mendapati, kanak-kanak lelaki banyak menjadi mangsa buli fizikal hingga diancam dengan keganasan berbanding perempuan dengan nisbah 2 berbanding 1.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata, pihaknya bersetuju dengan sebarang polisi yang membolehkan pelajar berasa selamat, bahkan ketika ini sudah wujud peraturan di sekolah untuk guru mengatasi masalah buli.

“Kuasa merotan memang sudah ada pada pihak sekolah, namun isunya adalah pelaksanaan dan imuniti yang diberikan kepada guru jika menggunakan cara ini untuk atasi buli. Hal ini kerana, perbezaan antara mendidik dengan mendera menggunakan rotan amat tipis.

“Garis panduan sudah ada untuk guru-guru namun yang menjadi masalah ialah penggunaannya. Bagaimanapun, isunya bukanlah kepada guru-guru tetapi pentadbir sekolah, jika mereka tidak beri kebenaran maka guru juga tidak dapat menggunakan rotan,” kata Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.