Pahang larang merokok di kawasan sidang DUN

Ramai pegawai kanan kerajaan dikatakan merokok di kawasan sekitar Wisma Sri Pahang ketika persidangan berlangsung. (Gambar Reuters)

KUANTAN: Kawasan sekitar bangunan Wisma Sri Pahang dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok dan mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas oleh penguatkuasa tanpa mengira jawatan atau pangkat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kawasan bangunan kerajaan dikategorikan antara 23 kawasan larangan merokok di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya ia tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun.

“Memang kawasan ini (Wisma Sri Pahang) adalah kawasan larangan merokok dan jika ada pihak tertentu merokok di sekitar bangunan yang sedang berlangsung persidangan DUN ketika ini, tindakan tegas boleh diambil.

“Cuma, kalau kebetulan ketika mereka ini sedang merokok dan tidak ada pegawai penguatkuasaan ketika itu, kiranya macam rezeki mereka dan bernasib baik (tidak dikenakan tindakan)…kalau nak kira, memang tindakan boleh diambil terhadap mereka (perokok) tanpa mengira jawatan atau pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) pada Persidangan DUN Pahang Ke-14 berkenaan tindakan ramai pegawai kanan kerajaan merokok di kawasan sekitar Wisma Sri Pahang ketika persidangan berlangsung.

Sebelum itu, Sim bertanya tentang berapa kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok di negeri ini dan jumlah kompaun yang dikenakan kepada perokok tegar sejak 2016 sehingga tahun ini.

Menjawab pertanyaan itu, Syed Ibrahim berkata pada 2016, sebanyak 1,226 kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kepada perokok yang melanggar arahan larangan merokok di kawasan larangan merokok.

“Sementara pada 2017 terdapat 3,392 kompaun dikeluarkan dan pada tahun ini pula sehingga September lalu, sebanyak 2,961 kompaun dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang akan terus melakukan pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa di semua kawasan dan premis yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Ramai pegawai kanan kerajaan dikatakan merokok di kawasan sekitar Wisma Sri Pahang ketika persidangan berlangsung.