Najib: Rakyat kabur hala tuju PH, peneroka Felda terjejas teruk

Najib Razak berkata banyak pihak terkesan di bawah pentadbiran PH, termasuk golongan Felda yang dinafikan hak mereka.

PETALING JAYA: Selepas 6 bulan negara ditadbir kerajaan baharu, rakyat masih lagi kabur dengan hala tuju dan masa depan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila saya tanya rakyat, mereka tidak jelas dengan visi kerajaan, mereka tidak nampak visi baharu kerajaan. Kalau kata Malaysia baharu, Malaysia baharu ini slogan, kita tidak boleh nilai berdasarkan slogan,” katanya dalam program Sinar Live Eksklusif, hari ini.

Bekas perdana menteri itu turut membangkitkan di bawah pentadbiran PH, banyak pihak terkesan termasuk golongan Felda yang dinafikan hak mereka.

Katanya, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pendapatan bulanan golongan peneroka hanya RM300 berbanding lebih RM3,000 sebelum ini.

“Saya tanya peneroka sekarang berapa pendapatan sebulan, mereka geleng kepala, mereka kata saya hidup dengan pendapatan RM300 sebulan. Saya tanya sebelum PRU berapa, mereka kata lebih RM3,000. Inilah hakikat sebenar yang dihadapai peneroka Felda.

“Keadaan peneroka begitu suram, ada yang kata kami sedang berkabung, saya sekarang tidak ada kuasa tetapi saya akan terus bersuara membela nasib orang Felda di Parlimen,” katanya.

Berikut adalah intipati wawancara Najib:

Nafi hutang negara RM1 trilion

Najib sekali lagi menafikan tuduhan kerajaan PH, kononnya hutang negara hasil peninggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mencecah RM1 trilion.

“Angka RM1 trilion tidak menggambarkan hutang kerajaan sebenarnya sebab hutang kerajaan RM686 bilion sahaja dan itu dibentangkan kerajaan PH sendiri, dan perkara itu disahkan oleh bank dunia dengan mengiktiraf Malaysia mendapat A-. Kalau hutang trilion tidak mungkin kita dapat kategori A,” katanya.

Peluang pekerjaan makin parah

Najib mendakwa peluang pekerjaan di bawah kerajaan PH makin parah apabila projek mega seperti Projek Transit Aliran Massa laluan 3 (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dihentikan dan dibatalkan.

Kerajaan PH gagal tawan Putrajaya jika cakap benar

Najib berkata kerajaan PH tidak akan berjaya menawan Putrajaya jika gabungan itu bercakap benar dan menawarkan janji sepertimana dilakukan hari ini selepas memerintah, termasuk tidak menghapuskan tol dan turunkan harga minyak.

“Sekiranya masa PH buat manifesto sepertimana berlaku hari ini, harga minyak akan diapungkan, tol tidak dimansuhkan, PTPTN kekal dan kena bayar balik dan lain-lain.

“Saya nak tanya agak-agak PH boleh menang, kalau janji itu dibuat dalam manifesto PH sebelum PRU, PH tidak boleh menang,” katanya sambil menambah isu 1MDB yang menjadi punca utama kekalahan BN adalah kerana rakyat termakan janji manis PH yang kononnya menawarkan harapan baru buat rakyat.

Pelabur Cina lari

Najib mendakwa keputusan kerajaan membatalkan projek melibatkan kerajaan China menyebabkan Beijing menjarakkan diri sehingga menjejaskan hasil pendapatan negara.

“China akan jadi kuasa ekonomi terbesar dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang dan di negara Asia, bila kita batal projek tentu, ada kesan dengan China. Antara kesan harga sawit jatuh kerana China tidak dapat beli pada tahap yang kita fikir mereka boleh.

“Pelancong dari China berkurangan bulan Ogos 35% dan tahun ini Lembaga Pelancongan andaikan pengurangan hasil pelancongan RM50 bilion,” katanya.

Mahu bersihkan nama di mahkamah

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau yakin proses pendakwaan yang dikenakan keatasnya akan membersihkan namanya dari segala fitnah.

“Saya boleh simpulkan berani kerana benar, saya yakin atas kebenaran saya akan buktikan di mahkamah nanti dengan kenyatan-kenyataan bila sampai masanya. Peguam saya yakin kita boleh berjaya.

“Daripada lebih 38 pertuduhan, ada pertuduhan pada masa sama tidak munasabah tetapi itu hak kerajaan untuk buat pertuduhan, saya tidak boleh nafikan. Cuma saya minta berlaku adil, maknanya saya seorang rakyat Malaysia dapat hak pembelaan dalam mahkamah yang adil. Dengan keadilan saya dapat buktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Nafi beli wakil rakyat PH

Najib menegaskan beliau tidak mempunyai perancangan untuk “membeli” wakil rakyat PH sejurus kekalahan BN dalam PRU14 lalu.

Katanya, beliau mempunyai beberapa saksi melibatkan pemimpin utama BN yang datang ke rumahnya pada malam keputusan itu.

“Kami tak bincang nak curi atau nak beli mana-mana wakil rakyat PH untuk mereka menyeberang sebelah kita (BN).

“Jadi saya tak tahu berita itu, tapi (ia) tidak datang dari saya dan saya pun dah nafikan dalam akhbar,” katanya sambil mengakui pada malam tersebut menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh.

Umno tidak akan lumpuh

Najib berkata Umno tidak akan mati kerana parti itu mempunyai banyak jasa kepada negara dan rakyat.

“Umno mesti menjadi pembangkang yang konstrutif, mesti berani, bukan jadi pembangkang yang semberono, kita lawan dengan fakta.

“Kita mesti bina balik, dengan pemimpin sedia ada, kita mesti tarik bakat baru. Salah satu kelemahan kita sekat bakat bakat baru, kita kena terima mereka,” katanya sambil menambah beliau akan terus membantu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pulihkan Umno.