Tajuddin rasa Jho Low tipu kerajaan sejak 2 tahun lalu

Tajuddin Abdul Rahman berkata ketua bahagian, ketua cawangan, dan ahli biasa Umno tidak mengetahui skandal 1MDB.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau sudah merasakan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho menipu kerajaan sejak 2 tahun lalu berhubung skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata beliau menasihati Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu presiden Umno, supaya menyelesaikan skandal 1MDB, namun tidak diendahkan.

“Saya sebagai ahli parti dan juga ahli majlis tertinggi rasa tanggungjawab saya untuk memberitahu Najib sebagai perdana menteri dalam satu mesyuarat majlis tertinggi,” katanya.

“Saya mendesak beliau ambil tindakan terhadap pengurusan 1MDB dan juga lembaga pengarah kerana apa yang berlaku banyak transaksi 1MDB tidak mengikut peraturan daripada laporan yang kita terima.

“Daripada maklumat yang kita terima, Low merupakan pemain utama, dan bayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar Investment, sekarang IPIC, sebab saya mengesyaki ada penipuan yang dilakukan oleh orang-orang tertentu, Jho Low, dan juga dengan kerjasama pengurusan 1MDB,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Hari ini, Najib dilapor mengaku kerajaan ditipu Low yang didakwa merupakan perancang skandal 1MDB.

Ketika ditanya Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali, apakah kerajaan ditipu oleh Jho Low, Najib dilapor berkata:

“Ya, kalau begitu, itulah kesimpulannya (kita ditipu), kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itu sebenarnya,” katanya.

Najib berkata, hubungannya dengan Low hanyalah atas dasar profesional semata-mata untuk meningkatkan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata beliau juga meminta Najib segera menyiasat skandal tersebut pada ketika itu kerana dikhuatiri mampu menjejaskan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Katanya, kini seluruh ahli Umno ditipu Low selepas perkara itu gagal diselesaikan sejak dari BN memerintah kerana tidak diketahui seluruh ahli parti Melayu itu.

“Saya masih ingat kata-kata saya ketika itu, kalau tunggu lama-lama nanti kita akan menghadapi masalah kehilangan kepercayaan dalam kalangan rakyat.

“Ahli-ahli Umno tidak tahu tentang perkara itu. Tanyalah ketua bahagian, ketua cawangan, dan ahli biasa, mereka tidak tahu,” katanya.

Kini, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berusaha sebaik mungkin menjejaki Low kerana itu juga yang dimahukan seluruh ahli Umno.

“Kita kena menangani masalah ini, tindakan mesti diambil kepada mereka yang bertanggungjawab. Datuk Seri Hishammuddin Hussein cakap boleh bantu, berilah dia buat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata pihaknya telah membuat permohonan kepada pihak polis bagi menganjurkan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan 8 Disember depan.