Tommy dalam lembaga pengelola DBP kerana beliau peguam negara, kata pengerusi

engerusi lembaga pengelola DBP, Mohamed Hatta berkata, peguam negara memang merupakan seorang daripada 6 pegawai kerajaan yang dikhaskan tempat dalam lembaga itu.

KUALA LUMPUR: Pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai ahli lembaga pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah kerana kedudukan beliau sebagai peguam tertinggi di negara ini dan kepakarannya dalam bidang undang-udang.

Pengerusi lembaga pengelola DBP, Prof Mohamed Hatta Shaharom berkata demikian ketika diminta menjelaskan pelantikan tersebut yang mendapat perhatian pengguna media sosial memandangkan Tommy diketahui umum tidak fasih berbahasa Melayu.

Foto ahli lembaga pengelola DBP, termasuk Tommy, tular minggu lepas mempersoalkan pelantikan beliau itu.

Bercakap kepada pemberita selepas “Forum Bahasa Jiwa Bangsa” yang berlangsung di Dewan Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, di sini malam tadi, Hatta berkata, peguam negara memang merupakan seorang daripada 6 pegawai kerajaan yang dikhaskan tempat mereka dalam lembaga itu. Lantikan lain termasuklah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, pelantikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dibuat kerana kepakaran beliau dalam bidang agama.

Pada forum tersebut, Hatta juga menyuarakan kebimbangan berhubung kurangnya pergaulan pelajar tahfiz dengan orang bukan Islam.

“Sebagai orang Islam, bagi saya Islam adalah kebenaran, tetapi pada saat yang sama, Islam menggalakkan kita hidup dengan orang bukan Islam dan membina negara bersama-sama.”

Beliau berkata, kurangnya pergaulan dengan anggota masyarakat bukan Islam mungkin tidak baik untuk pelajar berkenaan, dan juga jika mereka tidak mempelajari subjek “keduniaan” lain yang boleh memperkayakan kehidupan.

Berhubung isu penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu pada papan tanda, Hatta berkata, DBP berpendirian bahasa kebangsaan hendaklah digunakan untuk semua tujuan rasmi, selari dengan kehendak perlembagaan persekutuan.

“Akan tetapi, untuk tujuan lain, bahasa lain boleh digunakan. Mungkin ramai berasa sensitif tentang hal ini, namun kita perlu merujuk kepada perlembagaan,” katanya.