200 tunjuk perasaan bantah ICERD di Sabah

Sebahagian daripada penunjuk perasaan yang berhimpun di masjid negeri hari ini. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Siri pertama bantahan terhadap pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Sabah menarik kehadiran lebih 200 orang hari ini.

Angka tersebut tidak mencapai sasaran 700 orang walaupun kumpulan-kumpulan sasaran diberitahu sejak Isnin lagi.

Penganjur Ikatan Gabungan NGO Sabah bagaimanapun kelihatan bersemangat kerana mereka menyusun 4 lagi tunjuk perasaan minggu depan, bermula di Tawau dan diikuti bandar-bandar utama lain.

Himpunan hari ini menyaksikan penyertaan ahli-ahli Umno, PAS dan beberapa NGO di majis negeri selepas solat Jumaat sekitar 1.30 petang tadi.

Diselang seli laungan “Bantah ICERD”, “Hidup Islam” dan “Lawan”, penunjuk perasaan bertegas pengeshan perjanjian PBB itu akan menjejaskan keistimewaan Bumiputera di Sabah.

Ketua Pemuda Umno Sabah Aziz Julkarnain memberitahu pemberita pengesahan ICERD boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Keadilan sosial tidak bermakna semua kaum harus diperlakukan sama rata kerana hak Bumiputera mesti dilindungi,” katanya.

Aziz berkata British di zaman penjajahan mengamalkan prinsip pecah dan perintah untuk mentadbir Sabah, menyebabkan jurang ekonomi dan pembangunan yang luas antara penduduk kawasan bandar dan luar bandar.

“Sehingga hari ini, kami masih berusaha merapatkan jurang itu dan sebahagian besar penduduk yang tinggal di pedalaman adalah Bumiputera.

“Tanpa tindakan afirmatif, Bumiputera di Sabah akan ditinggalkan di belakang dan ini hanya akan mewujudkan ketegangan kaum di masa depan,” katanya.